Thursday, September 26, 2013

Muhasabah diri.

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama tidak menconteng dinding ini. Tiada cerita menarik. Mungkin ada, namun, lebih kepada menulis dalam minda. =)

Beberapa hari ini selalu terdetik beberapa perkara sebagai muhasabah diri sendiri. Ini monolog dalamanku kepada diriku. 


1. Berhenti mencari. Cuba menjadi. 
Ya. Memang kita dambakan kesempurnaan bila berhadapan dengan sesuatu. Tetapi ingatlah, kita pun tidak sempurna. Kita mungkin akan merendahkan seseorang kerana dia tidak sesempurna kita dalam satu hal. Namun, sedarlah yang dia sempurna daripada aspek lain yang kita tiada. Jadi, siapalah kita untuk melabel sesiapa. Namun, jika kelemahan itu dia paparkan tanpa ada kesedaran, cukuplah kita hanya berkata dalam hati.

2. Jaga pergaulan.
Ya. Jaga pergaulan duhai diriku. Ingatlah diri, kamu seorang muslimah. Tunjuklah contoh yang baik. Mungkin tidak semua, namun, cubalah untuk perbaiki diri menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Janganlah kamu terlalu menonjol di mata umum. Bersederhanalah. Kadangkala kisah hidupmu cukup menjadi kisahmu sahaja. Tidak perlu diwar-war selalu pada umum. Duhai diri, kamu adalah madrasah untuk bakal anak-anakmu nanti. Adakah kamu layak untuk menjadi seorang ibu yang baik nanti jika hari ini kamu hidup terlalu leka. Teringat pula kalam seorang ustazah. "Perhatikan dia di alam maya. Lihat cara tulisannya. Adakah kata-kata yang baik sahaja atau perbualan yang lagha sahaja tanpa mengira jantina. Memanjangkan perbualan yang sia-sia." Mengapa ini penting? Jika ini berlarutan, mungkin pasanganmu nanti akan terbawa-bawa dalam alam rumahtangga, bergaul tanpa mengira batas. Siapa yang akan menempah bahana cemburu? Kamu juga. Kamu. Duhai diri, jika kamu tidak mahu mendapat pasangan yang sebegini, kamu lah yang mulakan muhasabah diri. Ingat, apa yang kita buat hari ini, itulah yang akan kita tuai satu hari nanti. 

3. Jaga penampilan.
Penampilan biar nampak sederhana. Biarlah orang mengata kamu kuno dengan pakaian sebegitu. Warna kelam, kurang ceria. Biarlah duhai diri, cukuplah akhlak dan senyumanmu menjadi penceria semulajadi. Tidak salah untuk memakai warna ceria tetapi jangan terlalu menonjol. Biarlah tidak berfesyen, biarlah. Jaga nilaimu untuk bakal suamimu duhai diri. 

4. Jaga malumu. 
Kamu muslimah. Jaga malumu. Biarlah di kata sombong. Biarlah tidak seramah orang lain. Biarlah duhai diri. Ramah lah kamu secara bertempat. Jaga dirimu. Jaga imanmu. Bila di khalayak umum atau maya, jagalah tingkahmu. Jangan bercakap atau menulis sesuatu yang mencemarkan nilai seorang muslimah. Tidak perlu memapar gambar-gambarmu yang tidak sempurna menutup aurat. Ingatlah, rupamu sahaja boleh menimbulkan fitnah. Janganlah manjakan diri untuk melayan kerenah nafsu semata-mata ingin berbangga bila dipuji cantik. Cukuplah untuk tatapan mereka yang berhak. Duhai diri, engkau mahal kerana ada malu dalam dirimu. Ingatlah!

5. Tinggalkan segala kenakalanmu di masa lalu.
Duhai diri, dulu semasa kamu masih jahil mengenai segalanya, banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Namun sekarang, tingkatkan nilai diri. Kamu bukan yang dulu. Yang dulu pengajaran. Jika tiada yang dulu, kamu tidak ambil iktibar sekarang. Kisah silam biar jadi khazanah yang tersimpan. Jadilah diri kamu yang baru. Berbangga dengan dirimu yang baru. Jangan terlampau mengingati kenakalan masa silam. Duhai diri, kamu adalah seorang muslimah yang baru. Kamu masih ada kebaikan. Senyumlah pada masa hadapanmu. =)

Muhasabahlah diriku pada malam yang sunyi ini. Kuatkan iman. Ya. Kuatkan azam. Istiqomah. Sedikit demi sedikit. Yakinlah, kamu boleh menjadi muslimah yang terbaik. =)