Sunday, December 30, 2012

Trivia Istimewa 29 Disember 2012

Assalamualaikum w.b.t

Hari istimewa. Terima kasih ma kerana melahirkanku. =)

Alhamdulillah. Sudah 23 tahun dapat menikmati kehidupan di dunia ini. Sudah matang usiaku ini. Pelbagai kisah suka duka telah saya tempuh. Asam garam hidup pasti dilalui oleh semua makhluk di muka bumi ini.

Sedikit trivia pada tarikh istimewa ini :

1. Sepanjang ingatan saya, inilah kali pertama saya berada di negeri dan tempat lain semasa tarikh ini. Kebetulan saya berada di rumah abang saya di Kelantan.
2. Teruja bila mendapat tahu bahawa saya berkongsi tarikh lahir bersama anak seorang blogger yang saya kagumi. Baby Izz, aunty sayang kamu. Doakan suatu hari nanti aunty boleh sambut tarikh istimewa ini bersama Izz. =)
3. Dihujung-hujung tarikh ini, ramai yang berebut nak jadi orang terakhir memberi ucapan. Bagi saya yang terakhir adalah istimewa kerana ia lah "pelengkap". Yang jadi pertama, jangan kecil hati. Pertama tanda ingatan yang tidak berbelah-bagi. =)


Thursday, December 27, 2012

Cuti-cuti Kelantan

Assalamualaikum w.b.t

Memulakan entri ini dengan sebuah senyuman duka. Sesungguhnya saya rasa kehilangan.

Sabtu, 22 Disember 2012

Jam 3 petang, saya bertolak ke Machang bersama rakan saya dengan menaiki bas Cityliner. Agak kurang selesa menaiki bas tersebut memandangkan tiada tempat simpanan beg di bahagian bawah bas. Tempat duduk pula mengamalkan prinsip "siapa cepat dia dapat" walaupun tiada yang terpaksa berdiri. Saya berharap pihak perkhidmatan bas mengambil inisiatif untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan mereka dengan menyediakan bas yang lebih selesa seperti destinasi lain. Ini kali kedua saya menaiki bas sebegini, membuatkan semangat saya untuk datang ke Kelantan pada masa depan, pudar. Alhamdulillah, hampir pukul  6 petang kami sampai di hentian bas Machang. Terima kasih tuan rumah datang jemput tetamu. Hehe..

Sampai sahaja di rumah Yana, terus dia hidangkan nasi berlauk sebagai makan malam kami. Kebetulan keluarganya baru pulang daripada bandar, kami berkenal-kenalan sambil menjamu selera. Antara menu makan malam ialah sup belut. Nasib baik hati saya tidak terdetik untuk mengambil lauk itu walaupun rupanya kelihatan seakan-akan ikan keli. Saya "hantu ikan keli" tetapi bila dengan belut saya tidak boleh berkrompomi. Melihatnya pun saya tidak sanggup. Kepada bakal suami saya, sila fahami saya. Saya tidak mampu masak belut untuk kamu.;) Selesai makan, saya terus berehat dan menguruskan diri. Malamnya pula kami bertiga bersembang-sembang setelah lama tidak ketemu setelah habis pengajian bulan lepas.

Ahad, 23 Disember 2012

Kami telah bercadang untuk bergerak ke Pengkalan Chepa pada jam 10 pagi. Sewaktu bersarapan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan rusa mengamuk lalu menanduk anaknya. Rumah yana istimewa sebab di belakangnya ada zoo. Ada kuda, itik, rusa, dan sewaktu dengannya. Wah, pertama kali melihat di depan mata. Agak kelam kabut, namun kasihan apabila di akhirnya, anaknya terpaksa disembelih kerana nyawa-nyawa ikan. Ajal rusa itu dah sampai. Tak merasa kami hendak makan daging rusa sebab keraguan untuk memakannya. Tertanam jua rusa itu.

Setelah bersiap kami bertolak ke PC dan sampai ke rumah pengantin lebih kurang pukul 12.30 tengahari. Kami menolong menyiapkan bahan-bahan untuk menu malamnya dan terus menikmati menu makan tengahari. Kemudian, sesi menyiapkan diri untuk keluar mencari hadiah. Apabila berkumpul seramai lapan orang, meriahnya tidak terkata. Masing-masing bercerita sambil menyiapkan diri. Aduhai. Sejam juga bersiap kalau bersembang. Apabila turun ke bawah, hujan lebat tidak terkata, dan masa untuk berposing di pelamin sahaja nampak gayanya sambil menunggu hujan reda. Hampir pukul 4 juga baru kami keluar ke bandar Kubang Kerian. Destinasi kami hanya ke Mydin Mall kerana masa sudah suntuk. Kami perlu bersiap untuk majlis akad nikah pada malamnya.

Pada malamnya, setelah bersiap-siap, kami menunggu ketibaan pengantin lelaki untuk menyempurnakan majlis akad nikah yang dijangka berlangsung selepas Isyak. Hujan lebat di luar sana. Dalam masa yang sama kami menanti ketibaan jurugambar merangkap rakan sendiri. Penantian berakhir apabila dia tiba bersama temannya dengan muka seposen. Watak dia memang sebegitu, tapi dia lah kawan yang saya anggap sebagai abang. Dengannya, perwatakan saya sememangnya sebagai seorang adik. Dengannya saya akan menjadi  diri saya sendiri seperti kanak-kanak comot. Haha.. Walaupun kami selalu bertikam lidah, tapi dia dapat memahami saya dalam diam. Bila saya bersuara baru dia akan memberi respon. Terima kasih untuk perhatian. Kisah masing-masing waktu dulu, simpan dalam poket yer duhai abangku!

Sesi bergambar dalam bilik pengantin tiba dan kami berposing sakan. Akhirnya, setelah pukul 9 lebih, barulah rombongan lelaki tiba. Lambat namun, pengantin minta untuk solat isyak dulu. Bagus! Akhirnya lebih kurang 9.40, dengan sekali lafaz, kakakku ini telah menjadi isteri untuk suami pilihan hatinya. Alhamdulillah. Setelah itu, pengantin bersalaman dan terus naik ke bilik untuk solat sunat. Kemudian, kami merangkap ajk bertugas, menghidangkan makanan untuk tetamu dan membasuh pinggan mangkuk. Kami terlepas untuk sesi membatalkan air sembahyang iaitu sarung cincin dan bergambar. Kami sangat komited berada di dapur sehingga saya mengabaikan kesihatan saya. Saya terkena gastrik kerana masih belum menjamah makanan walaupun waktu telah lewat. Saya sengaja tidak mahu menyusahkan sesiapa. Yana yang mengetahuinya memaksa saya makan dahulu namun saya mengatakan tidak mengapa. Namun, saya hanya menjamah beberapa potong tembikai kerana mengerti pandangannya pada saya. Sekarang saya rindu kamu.

Setelah menjamu selera, kami menyambung menyiapkan bunga telur untuk kenduri esok sambil makan kek istimewa daripada pihak pengantin lelaki. Sedap! Sekarang waktu untuk tidur. Istimewanya kerana tidur di bilik pengantin kerana ruang terlalu sempit di bilik yang disediakan. Seronoknya, saya diajak untuk tidur di katil pengantin bersama pengantin, dan adik perempuannya yang kecil. Sayu hati sebenarnya. Saya berpeluang tidur bersama pengantin, pernah memakai baju akad nikahnya, dan membuat bunga telur bersamanya, membuat kad kahwin, dan pernah menemaninya memilih barangan hantaran. Hampir semuanya dilakukan bersama. Nanti saya akan rindukan semua kenangan ini.

Isnin, 24 Disember, 2012

Kami bangun awal pagi untuk bersiap. Majlis berlangsung pada jam 11 pagi. Rombongan pihak lelaki  pula sampai pada pukul 3 petang. Lewat sedikit. Kami bersarapan dan berehat-rehat dahulu sebelum menyiapkan diri. Awal lagi untuk memakai baju cantik. Hehe. Pengantin pun hanya memakai baju kurung. Dia hanya akan bersiap cantik dengan persalinan pengantin selepas zohor. Sudah puas kami bersembang, akhirnya kami akur untuk pergi menyiapkan diri kerana hanya kami sahaja yang masih memakai baju t-shirt berlegar-legar di rumah pengantin. Selepas menyiapkan diri, saya dan yana selaku penyambut tetamu kononnya duduk di ruang tamu sambil meninjau-ninjau rakan-rakan. Puas menunggu, sampai juga "mama to be" dan suaminya merangkap "abangku". Ramai sungguh abang, tapi hanya orang tertentu sahaja layak. Haha. Kami pun menemaninya makan-makan dahulu tetapi saya hanya mengalas perut dengan memakan bubur kacang sahaja. Tunggu waktu kemuncak dahulu baru sibuk nak makan. Kemudian, saya dan yana keluar sekejap untuk mengambil seorang lagi rakan kami yang menunggu di persimpangan jalan.

Selepas itu, kami hanya duduk bersembang di ruang tamu dan berposing di pelamin. Tiada kerja yang dapat dibuat. Menunggu teman yang tak kunjung tiba. Aduhai. Bosan juga ya. Puas meninjau di pintu, kami duduk di kerusi berhampiran pintu masuk dan menunggu huluran hadiah daripada jemputan. Ada juga kerja kami akhirnya. Kemudian, kami beramai-ramai ke khemah untuk makan. Selepas itu, meninjau keadaan pengantin di bilik pengantin. Beberapa lama kemudian, jurukamera pun tiba. Seronok. Kami yang berada di bawah  dipanggil naik ke bilik pengantin untuk sesi bergambar. Puas bergambar dengan pengantin yang malu-malu dan kerenah jurukamera yang sempoi. Haha.

Acara bergambar selesai dan kami pun beransur untuk keluar. Kami ingin ke bazar tok guru. Teringat lagi semasa bersalaman dengan keluarga pengantin. Ramai yang mengatakan muka saya seiras dengan adik pengantin yang berada di Mesir dan tidak dapat pulang kerana sudah hampir dengan final exam. Terasa segan pula. Saya mengandaikan kehadiran saya menjadi pelengkap kepada keluarga itu. Hehe. Dalam perjalanan ke bazar tok guru, kami terpaksa berpatah balik kerana salah seorang daripada kami tertinggal handbag. Dan bila sampai ke bazar tersebut, kkebanyakan kedai hampir ditutup kerana sudah lewat operasinya. Namun, saya masih sempat meninjau-ninjau jubah kerana saya memang meminati jubah. Kebetulan pula murah tapi memandangkan warna dan saiz yang tidak menepati citarasa, saya lupakan hasrat untuk membeli.

Tidak lama kemudian, saya menerima panggilan daripada kakak ipar saya yang menyatakan mereka sudah sampai di situ untuk mengambil saya. Saya tidak perlu pulang dengan menaiki bas kerana kebetulan kedua-dua abang saya bercuti di Kelantan, jadi saya boleh pulang dengan mereka. Seronok sangat kerana sudah lama kami tidak berkumpul bersama. Kali terakhir kami bercuti bersama adalah di Bukit Fraser sewaktu hari keluarga tempat kerja abang. Selepas berpisah dengan rakan-rakan, saya bersama family abang meneruskan perjalanan ke KB Mall. Kami ingin meronda-ronda di situ sementara menunggu malam kerana berhajat untuk ke Wakaf Che Yeh. Namun, hasrat terkubur kerana hujan yang agak lebat. Mereka mengambil keputusan untuk pulang ke Rumah Tamu Cempaka Desa, Panji selepas membeli makan malam. Mereka telah memomokkan saya dengan menyatakan bilik saya adalah bilik hujung yang "horror". Haha. Memang nak kena mereka. Sampai sahaja di rumah tersebut, saya berasa teruja dengan keluasan rumah tersebut. Memang seronok kalau rumah saya sebesar itu. Kemudian saya pun meninjau bilik saya. Tidak "horror" pun, namun saya masih berasa takut untuk tidur bersendirian dalam bilik belakang yang terletak di bahagian dapur.

Selesai menyiapkan diri, kami makan malam sambil menonton televisyen. Seronok bergurau senda kerana abang-abang saya memang kaki menyakat. Selepas itu, kami melayan rancangan tv sambil melayan kerenah dua orang si kecil yang nakal. Saya pula berasa sedikit terkilan malam itu. Sebelum saya pulang, saya ada hasrat terpendam.

Malam itu, saya tidur bertemankan lampu yang terang-benderang walaupun saya jenis yang sukakan suasana gelap. Masih ketakutan memikirkan keseorangan di bilik tersebut, tapi setelah melakukan adab tidur, saya terasa lega sedikit.

Selasa, 25 Disember 2012

Selepas check out dari rumah tamu tersebut, kami menuju ke Pasar Siti Khadijah. Kami bersarapan di sana dan kakak ipar memborong kaftan, baju tidur kanak-kanak dan kain batik. Saya meninjau-ninjau jubah, namun tiada yang berkenan di hati. Cerewetnya saya. Bukan, saya berjimat! Selesai semuanya, saya pun meneruskan perjalanan pulang ke Terengganu. Kakak ipar saya yang seorang lagi telah pulang ke kampungnya di Tumpat. Namun, beronak duri juga perjalanan pulang kerana kami terpaksa berpusing-pusing mencari jalan alternatif memandangkan banyak jalan yang tidak dapat dilalui kerana banjir. Nasib baik  abang menggunakan GPS. Akhirnya kami sampai jua ke kampung pada jam 3 petang. Sweet Home!


1) Petang ini saya ke Kelantan lagi. Abang saya menempah untuk babysitter for puterinya. Nasib baik adik comel, kalau tak, tak nak jaga..=p
2) Pertama kali saya menyambut hari jadi saya nanti di negeri orang. Harap abang saya buat suprise. Hihi.

Thursday, December 20, 2012

EP2 : Inspirasi Abang

Assalamualaikum w.b.t

Wanita, jangan terlalu asyik berada dalam kelompokmu sendiri. Sesekali cuba kita ambil pandangan daripada lelaki tentang kaum kita. 

-Inspirasi Abang-

1. Facebook
"Jarang nak jumpa wanita yang tidak menceritakan masalahnya di facebook misalnya hal rumahtangga dan sebagainya. Kalau ada pun, satu dalam seribu. Kalau ada memang "tabik" lah."
"Perempuan suka post gambar masakan yang 'biasa-biasa'. Padahal letak atas suratkhabar jer. Lainlah kalau plating ala masterchef. Tak pun letak resepi sekali. Baru ada manfaatnya."
2. Ilmu 
"Orang perempuan sekarang jarang yang taat dengan suami macam isteri zaman dulu-dulu sebab mereka ada ilmu. Mereka lebih open-minded."

* Ini pandangan mereka pada kita. Jangan cepat melatah. Ada kebenaran juga kata-kata mereka. Kita kena berfikir dahulu sebelum bertindak. Biar sesuatu yang datang daripada diri kita bermanfaat untuk orang lain. Ilmu yang kita peroleh jangan sesekali disalahguna. Kita belajar sesuatu untuk memastikan kita faham perkara tersebut dan tidak sewenang-wenangnya dimanipulasikan oleh orang lain. Bukan digunakan untuk menunjukkan kita hebat.

1. "Kata-kata inspirasi" daripada abang inilah yang menjadi guideline untuk saya perbaiki diri. 
2. Apa kata wanita tentang lelaki?

Wednesday, December 19, 2012

Entri Pendek

'Assalamualaikum w.b.t

Disember.

Perjalanan yang padat. Banyak yang dapat dicoretkan. Akanku zahirkan bila perjalanan ini sudah sampai penghujungnya.  

Januari.

-9 Jan 2013-

In shaa Allah. Semoga Allah melancarkan segalanya. Usaha, Doa, Tawakal. 

1. Pesan abang : Rezeki kita bukan terletak pada tangan manusia. Semuanya datang dari Allah s.w.t. Jangan takut untuk memilih kebenaran.
2. Pesan abah : Doa pada Allah s.w.t semoga lancar dan selamat semuanya.

Sunday, November 11, 2012

Menanti Lembaran Baru..

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. Bersyukur kerana saya baru sahaja selesai menamatkan pengajian selama 5 1/2 tahun. Perjalanan yang penuh liku, suka dan duka silih berganti. Hanya Allah sahaja yang mengetahui betapa lega nya hati ini kerana berjaya ke garisan penamat. 

Sedar tak sedar, beberapa hari lagi umat Islam akan memasuki tahun baru dalam kalendar Islam. Kita semua bakal meninggalkan tahun ini dengan pelbagai rasa. Bagi saya, tahun ini merupakan tahun yang sukar ditempuh. Memegang status sebagai pelajar tahun akhir, bebanan masalah peribadi, dan bermacam-macam lagi dugaan. Hanya Allah yang tahu betapa sesaknya hidup ini. Terima kasih Ya Allah kerana mengurniakan kekuatan kepadaku untuk menempuh hidup ini sehingga ke hari ini.

Harapan di tahun baru hijriah yang bakal menjelma ini dapat memberi sinar baru dalam kehidupan kita semua. Semoga Allah merahmati hidupku, keluargaku, sahabat-sahabatku dan semua umat Islam di seluruh dunia. Jadikan tahun baru yang akan datang lebih baik daripada tahun sebelumnya. 


Tuesday, October 9, 2012

Keindahan Album Al-Mawlid

Assalamualaikum w.b.t



Antara alunan syahdu yang dimuatkan dalam album ini ialah:

1. Intro Bacaan Al-Quran & Selawat
2. Mahalul Qiyam
3. Cahaya Seluruh Alam
4. Tholama
5. Menuju ke Madinah
6. Doa Dari Mama
7. Ingin Bersamamu
8. Cahaya Seluruh Alam (minus one)

Antara yang menjadi kegemaran saya ialah Tholama, Menuju ke Madinah dan Ingin Bersamamu. Namun, semuanya sedap didengar. Dua tiga hari ini, saya hanya memasang album ini. Rindu kepada Nabi Muhammad s.a.w terubat jua kerana begitu asyik menyebut namanya. 

Jom beli album ini! 


Satu Pagi di Putra

Assalamualaikum w.b.t

(Entri semalam)

Pagi ini saya tiada kuliah. Namun, atas permintaan pensyarah yang inginkan kami hadir, maka kami hadir jua.  Selepas tamat kelas pada jam 10.45 pagi, saya pulang untuk bersiap-siap ke Hentian Putra untuk membeli tiket pulang ke kampung sempena Aidiladha. Bimbang juga saya kehabisan tiket memandangkan ini musim perayaan. 

Ketika saya melalui jejantas untuk menuju ke hentian tersebut, saya secara tiba-tiba ditegur oleh seorang lelaki. Dia mengatakan bahawa dia kekurangan wang  untuk pergi ke satu tempat. Saya terkejut dan ragu-ragu untuk memberi respon kepada permintaannya. Dia dengan yakin menerangkan situasinya. Dia juga tidak ragu-ragu untuk menunjukkan kad pengenalannya. Orang utara rupanya. Saya memintanya tunggu sebentar sementara memeriksa dompet saya adakah saya mempunyai duit yang mencukupi untuk memenuhi permintaannya. Dia dengan bersegera mengeluarkan pen dan kertas dan meminta saya untuk menulis no telefon dan no akaun. Namun, saya mengatakan maaf kerana saya tidak mempunyai wang yang mencukupi sepertimana yang diminta. Dia merayu-rayu dan berjanji untuk menggantikan kembali apabila dia telah mengeluarkan wang di bank. Saya ingin menolak permintaannya , namun atas dasar kemanusiaan, saya pun terus menghulurkan duit kepadanya. Bakinya telah saya halalkan. Lelaki tersebut berasa serba salah dan ingin memberi saya sebatang pen sebagai pertukaran. Saya mengatakan saya ikhlas memberinya tanpa meminta balasan. Sebelum saya berlalu pergi, saya mengatakan kepadanya:

"Saya ikhlas beri duit ini. Tetapi kalau awak tipu saya, itu antara awak dengan Allah"

Dia mengatakan dia tidak menipu. Dan saya pun berlalu pergi untuk membeli tiket saya sambil berdoa semoga lelaki itu jujur dengan perlakuannya.

1) Dapat merasakan kejujurannya kerana saya berasa tenang selepas menolongnya.
2) Sekali kita ditipu, selamanya kepercayaan itu akan hilang.
3) Mungkin dengan pemberian itu, Allah akan tambahkan rezeki ku..aamiin..=)

Tuesday, October 2, 2012

Benar Cinta


Assalamualaikum w.b.t





Jika benar cinta, 
Jauhkan aku daripada fitnah dunia,
Jika benar cinta,
Jauhkan aku daripada sebuah prasangka,
Jika benar cinta,
Jauhkan aku daripada maksiat pada-NYA.

Jika benar cinta,
Dekatkan aku dengan gambaran syurga,
Jika benar cinta,
Tanamkan dalam diriku sebuah rasa percaya ,
Jika benar cinta,
Raihlah aku di jalan pahala.

Jika benar cinta,
Pimpinlah tanganku ke syurga,
Disitulah tempat mulia,
Terpatri janji kita.

~aisya 10212~

Saturday, September 29, 2012

Bedah Buku: Pemuda Yang Dirindukan Syurga

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk membedah buku yang bertajuk seperti di bawah:



"Pemuda hebat..
Dunia melamarnya..
Syurga merinduinya.."


Gambaran pemuda zaman kegemilangan Islam:

  • Semangat memanfaatkan masa muda

- Semangat Abdullah bin Amr bin Al-Ash
"Saya mengumpulkan al-Quran dan membacanya dalam jangka masa satu malam"

Semangat Abdullah bin Umar bin Al-Khatab

Sabda Baginda s.a.w :
"Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, kerana dia bangun pada sebahagian malam untuk solat"

Semangat Hamzah Al- Aslami
"Wahai Rasulullah, aku adalah pemilik tunggangan yang sedang aku ubatkan. Aku akan bermusafir dengannya serta menyewakannya. Barangkali aku akan bertemu bulan ini, iaitu Ramadhan dan aku memiliki kekuatan kerana masih muda. Wahai Rasulullah, aku berasa berpuasa lebih ringan bagiku berbanding melambat-lambatkannya sehingga ia menjadi hutang ke atas diriku. Wahai Rasulullah, apakah puasa aku ini akan mendapatkan pahala yang besar ataupun patut berbuka?
Maka Baginda bersabda : "Kerjakan apa yang engkau kehendaki, wahai Hamzah" 

  • Pemuda dan Ilmu
Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Orang yang paling pengasih dari umatku adalah Abu Bakar, yang paling keras (dalam membela) agama Allah adalah Umar, yang paling pemalu adalah 'Uthman, yang paling bijak keputusannya adalah Ali bin Abi Talib, yang paling pandai membaca kitab Allah adalah Ubay bin Ka'ab, yang paling mengetahui perkara halal dan haram adalah Muadz bin Jabal, dan yang paling tahu akan hukum faraidh adalah Zaid bin Tsabit. Ketahuilah, bahawa tiap-tiap umat ada orang kepercayaan dan kepercayaan umay ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah"

  • Pemuda dan Iman
Hassan bin Tsabit berkata tatkala memuji Thalhah bin Ubaidillah dalam qasidahnya:
"Dan Thalhah pada hari tercerai-berai tetap menemani Muhammad
 Pada saat tersepit dan penuh kesukaran
Dia melindunginya dengan kedua tangannya sehingga baginda selamat
Sedang jari-jarinya di bawah pedang telah lumpuh
Beliau bersama Muhammad berada di barisan paling depan
Menegakkan panji Islam sehingga terbebas" 

  • Pemuda dan Amal Soleh
Daripada Muhammad bin Yazid, bapanya mengkhabarkan kepadanya:
"Sesungguhnya Abdullah bin Umar mempunyai mihras di dalamnya berisi air. Beliau pun solat menurut kadar kemampuannya. Ketika berasa letih, dia menuju ke tempat tidurnya, lalu tidur ringan sebagaimana seekor burung. Setelah itu dia bangkit, berwuduk dan kembali mendirikan solat. Beliau mengerjakan yang demikian empat ataupun lima kali dalam semalaman."

  • Pemuda dan Adab
- Usamah bin Zaid
Pada zaman 'Uthman bin Affan, harga pohon kurma naik sehingga seribu dirham sepohon. Maka Usamah sengaja mendatangi pokok kurmanya kemudian mencabut dan mengeluarkan isinya (lemak dan minyak) lalu dia memberi makan kepada ibunya.
Mereka yang melihat perbuatannya berkata: "Apa yang membuat kamu melakukan hal ini, padahal engkau mengetahui kalau harga pohon kurma sekarang mencapai seribu dirham?"
Usamah pun menjawab, "Ibuku yang memintanya dan sesungguhnya aku pasti akan memenuhi permintaannya selagi aku terdaya." 

  • Pemuda dan Dakwah
- Dakwah Thulaib bin Umair kepada Ibunya
Thulaib berkata: "Wahai ibuku, apa yang menghalang ibu daripada memeluk Islam dan menjadi pengikut (Muhammad)? Padahal saudara lelakimu Hamzah telah memeluk Islam?"
Dia pun berkata, "Lihatlah apa yang akan dilakukan oleh saudara-saudara perempuanku, kemudian aku akan menjadi salah seorang daripada mereka."
Berkata Thulaib, "Saya mohon kepadamu kerana Allah, kecuali jika ibu datang dan menyerahkan diri serta membenarkannya. Kemudian ibu bersaksi bahawa tiada yang patut disembah melainkan Allah."
Maka sang ibu berkata, "Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah."
Setelah itu, beliau begitu gigih dan bersunguh-sunguh membela nabi dengan lisannya. Juga menganjurkan dan membangkitkan semangat anak-anaknya agar membela dan menolong Rasulullah serta melaksanakan segala perintah-Nya. 

  • Pemuda dan Jihad
- Dua beradik berlumba memerangi musuh Allah
Abdur Rahman bin Auf berkata, "Aku berada dalam barisan pasukan Perang Badar. Ketika aku menoleh ke kiri dan kananku, aku mendapati dua orang pemuda yang masih belia. Seolah-olah tidak merasa aman dan khuatir akan keadaan mereka berdua."
Tiba-tiba salah seorang daripada keduanya berbisik kepadaku, "Wahai bapa saudara, tunjukkan kepadaku yang mana satu Abu Jahal."
Aku bertanya pula, "Wahai anak saudaraku, apa yang akan kau lakukan kepadanya?"
Dia menjawab, "Aku telah berjanji kepada Allah, jika aku melihatnya aku akan membunuhnya ataupun aku yang terbunuh kerananya."
Dan temannya yang seorang lagi juga berbisik kepadaku seperti itu. Abdur Rahman berkata, "Aku berada di antara kedua pemuda tersebut dan aku khuatir akan keselamatan mereka. Lalu aku menunjukkan kepada mereka berdua posisi Abu Jahal. Serentak keduanya menerjang dua ekor al-sharq sehingga berhasil membunuhnya. Kedua pemuda itu adalah anak 'AFRA."

Ini lah intipati buku ini. Membaca buku ini membuatkan saya merindui untuk kembali ke zaman generasi awal Islam. Saya mengagumi semangat yang ditunjukkan mereka. Mereka mempunyai kualiti diri yang boleh dibanggakan agama. Masih adakah lagi generasi sebegitu pada zaman kini?


Buat syabab agama:

1) Dunia membutuhkan syabab-syabab agama yang hidup matinya kerana Allah s.w.t
2) Jangan kau lalai dengan permainan dunia yang fana.
3) Ayuh syabab, bangkitlah!

Wednesday, September 26, 2012

Muhasabah

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, malam ini saya mempunyai ruang untuk menulis. Menulis untuk berkongsi rasa hati. Malam ini banyak yang berlegar-legar difikiran saya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya kerana mendetikkan hati saya untuk sentiasa muhasabah diri.

Banyak perkara yang perlu saya titik berat kan. Saya perlu berdisiplin. Saya sudah dewasa. Saya muslimah. Saya serikandi Islam. Satu hari nanti saya bakal menjadi seorang isteri dan ibu kepada bakal-bakal pejuang Islam. Saya perlu mempunyai kualiti diri.

Saya harus berdisiplin dalam perkara ini:

-Menjaga solat.
-Khatam Al-Quran sekurang-kurang 2 bulan sekali.
-Al-Mathurat pagi dan petang.
-Banyakkan amalan sunat.
-Banyakkan bahan bacaan keagamaan.
-Dengar ceramah-ceramah agama.
-1 minggu 1 tokoh Islam ( tak kenal maka tak cinta)
-Kurangkan perkara yang melalaikan.
-Berbaik sangka walaupun pahit
-Jaga akhlak.
-Jaga aurat. (rindukan pakaian itu..)

Banyak lagi yang bermain di minda saya. Itu sahaja mampu dicoretkan. Saya harap kita mempunyai misi yang sama. Kita perlu berubah. Jangan sia-siakan teguran daripada Allah. Mungkin selama ini kita sudah melakukan semua perkara di atas, namun, manusia mudah leka dan terlupa. Ayuh, kita sama-sama tingkatkan ibadah kita pada Allah. 

Iman kita sering diduga. Jangan rasakan amalan kita sudah banyak dan terbaik daripada yang lain. Kualiti lebih penting daripada kuantiti. Orang yang amalannya sedikit tetapi ikhlas dan diterima Allah lebih baik daripada orang yang sentiasa beribadah kepada Allah namun sekadar ingin menunjuk-nunjuk. Muhasabah lah diri anda. Jangan riak dengan amalan yang banyak. 

Ramai yang merasakan dirinya sudah cukup hebat apabila sentiasa menghadiri ilmu agama, sentiasa berkunjung ke masjid, dan sebagainya. Ingatlah, hanya Allah yang mampu menilai. Manusia mampu melabelkan apa sahaja. Namun, Allah ada kayu ukur-NYA yang tersendiri.

Ingat! Jangan riak. Jaga niat.

Saturday, September 8, 2012

Selangkah Ke Hadapan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. syukur. syukur. syukur. Hanya itu yang dapat saya luahkan. Saya sangat gembira kerana saya hampir ke arah itu. Berbuat satu kebaikan adalah sangat sukar kerana pelbagai penghalang yang tiba. Tahniah buat diri saya kerana saya berani untuk selangkah ke hadapan.

Allah takdirkan saya melangkah ke tempat itu. Saya keliru. Namun, ketika Allah mengizinkan saya mengalami kembali saat itu, saya sebak dan hampir menangis. Saya terharu dengan keyakinan yang telah Allah hadirkan dalam diri saya. Ya Allah, jika mak cik itu tiada disitu, saya rasa air mata ini tertumpah jua. Terima kasih mak cik sudi melayan permintaan saya. Allah takdirkan mak cik memenuhi hasrat saya. Saya terasa ingin memeluk mak cik. Ya Allah, indahnya hidayah dari-MU. 

Kerana hasrat saya tercapai, saya telah menghadiahi teman-teman saya hadiah istimewa. Saya gembira melihat kecerian mereka menerima hadiah yang tidak seberapa daripada saya. Tiada yang lebih bernilai daripada indahnya mengalami hari ini. 

Saya ingin mara selangkah lagi. Itulah kemuncaknya. Doakan saya.

1) Semoga saya istiqomah.
2) Saya tidak sabar menunggu saat itu.
3) Saya sebak.

Wednesday, September 5, 2012

Khat & Jawi Di Hati

Assalamualaikum w.b.t

Khat di hati? Macam pelik sahaja bunyinya..Hehe..Aduhai, saya memang suka yang pelik-pelik ini. Bahasa kalau tak indah, memang bukan saya lah. Berbalik kepada tajuk entri ini, saya maksudkan ialah Seni Khat. Oh, saya memamg teruja kalau dengan tulisan khat ini. Cuma saya tidak pandai untuk menulis tulisan khat secantik orang-orang yang profesional menulisnya. Saya hanya tahu tulis jawi. Haha.

Sewaktu sekolah rendah hingga sekarang, saya bersyukur kerana Allah telah kurniakan satu anugerah buat saya iaitu "saya pandai meniru tulisan tangan orang, dengan syarat, saya tahu cara orang tersebut memegang pensel @ pen.". InsyaAllah, saya dapat meniru tulisannya. Saya masih ingat lagi saya selalu bertukar-tukar buku latihan dengan rakan baik saya dahulu. Saya akan membuat kerja sekolahnya, dan dia akan membuat kerja sekolah saya. Padahal kerja sekolah kami sama sahaja. Nama pun satu kelas. Hehe. Tapi, ketika sekolah rendah,  saya tidak mengenali tulisan khat dan saya tidak pernah menghiraukan tulisan jawi saya sama ada cantik atau tidak. 

Bila sudah sekolah menengah, memandangkan saya bersekolah di sekolah agama, tulisan jawi memang selalu digunakan. Maklumlah, saya mengambil subjek Pendidikan Islam, Syariah Islamiah, Al-Quran & Sunnah, dan Bahasa Arab. Semua notanya dalam tulisan jawi. Saya amat mementingkan kecantikan huruf-huruf jawi yang ditulis. Perangai buruk saya adalah mengoyakkan kembali nota yang dibuat jika ada tulisan yang tidak cantik. Aduhai, teruknya saya pada waktu itu. Haha. Waktu saya berada dalam menengah rendah, saya  tekun membuat nota Pendidikan Islam dengan begitu cantik, kemas, dan padat disebabkan apa yang di sebut oleh ustazah saya itulah yang akan keluar dalam soalan peperiksaan. Hati saya tidak tenang bila nota Pendidikan Islam tidak dapat disiapkan. Huhu. Memandangkan perangai saya semacam ini, rakan-rakan sering meminjam buku nota saya. Alhamdulillah, saya selalu mendapat markah yang cemerlang dalam subjek Pendidikan Islam. Saya teringat pada satu ketika, ustazah memarahi semua budak kelas saya kerana tidak mendapat markah yang cemerlang. Kebetulan, saya mendapat markah tertinggi dan ustazah menyuruh saya berdiri. Beliau menanyakan kepada saya tips mendapat markah sebegitu. Saya berasa sangat malu kerana saya tidak lah sepandai yang lain, tapi memandangkan saya suka dengan subjek itu dan bersemangat membaca nota saya yang telah dihias indah (saya sangat perasan..>_< ), saya menjadi teruja untuk terus menghafalnya setiap nota tersebut. Saya pun hanya menjawab "sebab saya selalu catat dan baca apa yang ustazah cakap". Tutuplah cerita ini. 

Tapi bila berada di peringkat menengah atas, saya selalu malas untuk menulis jawi memandangkan saya rasa tulisan saya tidak cantik. Tetapi, untuk meningkatkan kerajinan saya, saya sering melihat dan meminjam buku teman sekelas saya memandangkan tulisannya sangat cantik. Najwa, terima kasih kerana menjadi pendorong! Satu lagi yang saya cemburukan, tulisan jawi abang saya sangat cantik. Tetapi, dia selalu menafikannya. Sampai sekarang, beberapa orang sahaja yang tahu bahawa abang saya mempunyai tulisan jawi yang cantik, dan pandai melukis. Dengan isterinya pun dia menafikan. Aduhai. Sadis. Bilanya saya hendak ceritakan pasal khat pula? Aduhai. Panjang sungguh perjalanan pasal tulisan jawi. Begini ceritanya, dahulu, kami mempunyai abang senior tingkatan 6 yang pandai menulis tulisan khat. Kebetulan, saya mempunyai kakak angkat juga sekelas dengan dia. Ketika hendak berpisah kerana mereka sudah tamat sekolah, kakak angkat saya menghadiahkan satu kad yang terlakar pesanan dalam tulisan khat yang ditulis oleh abang tersebut. Sejak itulah saya teringin menulis tulisan khat. Hehe.

Bila memasuki alam perguruan, saya dah jauh meninggalkan tulisan jawi dan khat. Kebetulan sewaktu saya memasuki persatuan di maktab saya, kami membuat lawatan ke Yayasan Restu, inilah permulaan saya menyambung kembali kecintaan saya kepada tulisan khat. Saya pun teruja ketika pihak mereka membuat satu kursus belajar tulisan khat. Susah tapi menarik. Mulai hari itu, saya memasang angan-angan untuk menyambung pelajaran di Yayasan Restu satu hari nanti dalam bidang penulisan khat. Harap-harap saya dapat posting di sekitar Selangor. Kalau tidak dapat meneruskan hasrat tersebut pun, saya berharap saya dapat belajar secara sambilan pun jadi lah. Harap semua dapat doakan saya..=) Saya pun selalu mengenakan rakan serumah untuk menghadiahkan saya pen khat di hari jadi saya. Itu sudah memadai. Hihi. Tapi sampai sekarang tiada. Terpaksalah belinya dengan duit sendiri satu hari nanti. ^^

Satu perkara yang mengejutkan, baru saya tahu teman sekolah saya dahulu pernah bekerja di Yayasan Restu. Aduh, patutlah ketika melihat template berkaitan tawaran belajar di situ, saya terasa seperti pernah melihatnya. Tapi malangnya saya tidak nampak pun kelibat dia ketika lawatan ke sana. Melepas saya untuk mendapat satu kad special darinya. Hehe. Sampai sekarang saya selalu membuka facebooknya untuk melihat hasil-hasil tulisannya. Aduh. Cemburu saya. 

Teringat pula bila saya rasa rindu menulis jawi, saya selalu menconteng kertas dan menulis pada buku-buku saya apa-apa sahaja dalam tulisan jawi. Huhu. Saya harap suatu hari nanti saya dapat menyuburkan kembali kecintaan saya kepada jawi dan khat ini. Harap-harap suami saya nanti berkongsi minat dengan saya dan merestui minat saya. Amin.

Seni khat dan jawi memang di hati saya..

1)Saya menunggu hadiah berupa "pen khat" daripada sesiapa sahaja. Tolonglah hadiahkan pada saya. Haha.
2)Saya terasa hati bila dia berkata yang dia tidak faham apa yang dituliskan oleh saya pada buku tersebut. Terus menganggap yang diri saya tersalah eja dan tulisan saya tidak cantik. Aduhai, jauh hati saya sejauh sejengkal. Haha.
3)Saya menulis entri ini pada waktu yang sama saya membuka microsoft word untuk membuat assigment. Mana yang lebih penting? Haha.


Sunday, September 2, 2012

Bisik Hati

Assalamualaikum w.b.t

Ya Allah, entah kenapa malam ini keinginan saya membuak-buak untuk membuat sesuatu yang telah lama saya impikan. Semoga Allah mempermudahkan niat suci ini. Semoga ianya menjadi titik tolak dalam mengharungi dunia yang semakin tua ini. Amin..=)

1) Saya ada mereka yang mendoakannya.
2) Beberapa hari ini, saya penat untuk terpalit dalam permasalahan mereka.
3) Buat dia : Selama ini mereka sering berbicara tentang kamu, sedangkan masa berlalu dengan Allah membenarkan saya melihat yang mereka sedang melakukan apa yang pernah mereka bicarakan tentang kamu. Allah Maha Adil. 

Thursday, August 30, 2012

Mengejar Merdeka

Assalamualaikum w.b.t

Saya sudah merdeka! Alhamdulillah. merdeka juga diri saya hari ini. Kebetulan hari ini saya telah menghantar dua tugasan. Hanya tinggal 1 lagi tugasan. Hehe.. Tugasan yang telah mengganggu mood raya. Maklumlah, minggu kedua Syawal, kami terpaksa memerah otak untuk mengarang esei. Aduhai. seminggu saya tidur dalam ke"ilmiah"an.

Sepanjang  1 minggu menyiapkan tugasan ini, bermacam-macam perkara yang terjadi. Yang paling kelakar, kami asyik mengelat untuk hantar tugasan pada waktu yang ditetapkan. Tugasan yang perlu dihantar sebelum hari raya, tapi kami meminta penangguhan sehingga lepas raya disebabkan komitmen yang lebih untuk laporan kajian tindakan. Alhamdulillah. kami dapat keizinan untuk hantar lewat. Tetapi, bila hari yang dijanjikan menjelang tiba, kami minta penangguhan lagi. Penangguhan berlaku sebanyak 3 kali. Sayang sungguh pensyarah kami kepada pelajarnya. Terima kasih guruku =). 

Dalam pada itu, saya sungguh sedih apabila tugasan yang hampir siap tiba-tiba hilang begitu sahaja. Malang sungguh nasib saya. Tiada autosaved seperti biasa. Haru biru mood saya pagi itu. Padahal, selama ini saya selalu tertidur tanpa shut down laptop saya dengan sempurna. Mungkin ada hikmah disebaliknya. Saya perlu lebih berhati-hati. Terima kasih buat yang memberi semangat untuk saya untuk siapkan kembali tugasan tersebut.

Bila tugasan selamat dihantar, lega rasanya. Tapi tugasan lain sedang menanti. Pembentangan untuk viva, seminar penyelidikan, seminar Malindo (bersama pembentang dari Indonesia), kuiz, peperiksaan akhir dan banyak lagi. Penat saya menghitung segala kerja yang bakal tiba ini. Aduhai. Cepatlah habis belajar. Saya tidak sabar untuk merdeka lagi!

Masih ada setengah perjalanan ke arah merdeka rupanya..

1) Cepatlah masa berlalu.
2) Terima kasih kepada dia yang sudi dengar rungutan saya selama ini. Sabar itu sifatnya.
3) Masa untuk mengadap "teman" saya. =)

Wednesday, August 22, 2012

Hikmah Kembara Syawal

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, kembara Syawal hari ini begitu meriah sekali. Penat masih terasa. Namun, kegembiraan mengatasi segalanya. Lapan buah rumah telah berjaya ku jejaki. Satu rekod yang amat baik sekali. Tahun-tahun lepas, mood raya tidak sehebat tahun ini. Tahniah buat diri saya..=)

Dari satu rumah ke satu rumah, ada pelbagai cerita disebaliknya. Saya belajar banyak perkara. Belajar daripada "orang kaya". Kenapa "orang kaya"? Sebab rumah yang saya kunjungi, hampir semuanya "bernilai emas". Wah! Saya pun berangan nak memiliki rumah sebegitu. Muflislah suami saya nanti. Hehe. Terima kasih buat kakak ipar saya yang sudi berkongsi raya dengan saya. Kembara akan bersambung esok..;)

Berbalik kepada hikmah kembara saya hari ini, pertamanya, saya belajar menjadi pemurah. Mereka sungguh pemurah dengan tetamu mereka. Aduhai..saya yang dah tua ini pun masih diberi duit raya. Malu sungguh saya. Tapi alhamdulillah sebab itu rezeki saya. Mereka tidak lokek untuk memberi duit raya yang berbagai warna. Saya sangat segan bila isinya berwarna merah. Huhu..

Kedua, ketika saya mengunjungi salah sebuah rumah ini, saya terpikat dengan kelembutan isteri kepada tuan rumah. Aduhai..peribadinya memikat hati saya. Cara dia berkomunikasi dengan orang lain membuatkan saya terasa ingin menuntut ilmu dengannya. Maklumlah, saya ini terlebih garang. InsyaAllah anak saya akan disantuni sebegitu. (Berangan lagi)

Ketiga, ketika sedang duduk-duduk sambil melihat reaksi orang ramai menikmati makanan, saya terlihat rakan lama saya. Sempat juga saya menegurnya, tapi memandangkan dia baru hendak menikmati makanan, saya hadkan perbualan kami. Sesampai sahaja dirumah, kebetulan saya online melalui handset saya, saya terbaca status fb nya. Dia sungguh teruja bertemu dengan saya. Terima kasih buat Aisyah! Semoga tahun depan kita bertemu di rumah yang sama..=)

Keempat, Syawal kali ini, menemukan ramai dengan saudara mara saya yang belum saya kenal. Ramai wajah-wajah baru yang belum pernah saya lihat. Alhamdulillah, ketemu juga kami. Nanti senang untuk jemput datang kenduri saya..(berangan juga..haha)

Hikmah Kembara Syawal ini akan bersambung lagi..

1) Saya penat "perut" dan "kaki".
2) Bila saya nak mengembara ke negeri itu!
3) Saya baru perasan saya banyak berangan dalam entri kali ini..Hehehe..

Sunday, August 19, 2012

Cerita 1 Syawal 1433H

Assalamualaikum w.b.t

* Sedih
* Gembira
* Penat
* Teruja

Itulah 4 perencah rasa 1 Syawal.

-Sedih-

Pagi 1 Syawal terasa sedih mengenangkan beraya tanpa kakak di sisi. Apabila terjaga daripada tidur, air mata ini mencurah-curah turun. Sayunya hati ini. Ku lihat tergantung sepasang kurung biru di dalam almari.

-Gembira-

Sedang asyik bersiap-siap, tiba-tiba terlihat sebuah kereta masuk di perkarangan rumah. Keluarga abang sudah sampai. Seronok menyambut kepulangan mereka.

Selepas kesemuanya berkumpul, sesi bergambar bermula. Itulah acara wajib bagi setiap keluarga di pagi raya. Kali ini agak teruja sebab masing-masing seronok bergambar. Peace!

Sanak-saudara tidak putus-putus datang ke rumah. Namun, kami sempat curi-curi beraya. Dari pagi sehingga petang mood beraya. Ini satu rekod luar biasa bagi saya.

-Penat-

Penat sungguh melayan tetamu yang datang. Urusan dapur satu kemestian untuk dilangsaikan. Aduh! Tidur awal malam ini.

Tertidur di kerusi sementara menanti untuk keluar berhari raya.

-Teruja-

Adik membawa perkhabaran seorang penulis novel kenalannya ingin datang ke rumah. Aduhai..semangat betul dia. Saya pun turut teruja. Berjangkit dengan dia agaknya.

Teruja ingin meneruskan Aidilfitri keesokannya..:)


1. Selamat Hari Raya buat semua.
2. Doakan saya dapat menikmati suasana hari raya di suatu tempat. Itulah impian saya.
3. Berbalas kunjungan dengan teman saya itu. Mahal rupanya harga sepatah kata.

Saturday, August 18, 2012

Sepasang Kurung Biru

Assalamualaikum w.b.t

Hari ini 29 Ramadhan 1433, hari terakhir berpuasa, insyaAllah. Esok hari raya. Ini bermakna sudah 2 tahun beraya tanpa seorang kakak. Al-fatihah buat arwah kakak. Namun, kakak sangat baik kerana "meninggalkan sesuatu". Sepasang baju kurung biru. Itulah penawar buat kami sekeluarga. Sebelum kakak pergi, dia minta kami sediakan baju raya untuk dia. Mungkin kakak hendak kami merasakan dia selalu ada bersama kami lebih-lebih lagi pada hari raya. 

Kakak meninggalkan kami dengan sejuta rindu:

1. Rindukan masakannya terutama rendang ayam & daging.
2. Rindukan suasana kesibukannya menyiapkan persiapan raya.
3. Rindukan mee karinya yang sedap.
4. Rindukan segalanya tentang dia.

"Semoga kakak ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman..amin"

1. Entri pendek kerana air mata ini turun seperti hujan.
2. Esok ingin bertandang ke rumah kakak.
3. Al-fatihah buat ibu saudara yang baru meninggalkan kami beberapa hari ini.


Wednesday, June 6, 2012

Salam Rindu


sumber: google.com



Telah lama ku tinggal pena..
Ruangan ini bagai tidak terusik..
Ku jengah kala aku sendiri..
Mengintai dunia disebalik tirai berduri..

Kini,
Harapanku kembali berputik,
Ilham kembali menjengah minda,
Nantikan sisa-sisa coretan seorang perindu
Buat KEKASIHNYA DISANA..