Monday, December 19, 2011

Tarikh Kematian

  (11/11/11), (12/12/12)

Kalau anda melihat tarikh-tarikh ini, perkataan pertama yang terlintas di fikiran ialah "cantik". Ia. Memang cantik. Tersusun. Dengan digit yang sama, sudah tentu ia mudah disebut dan diingati. Tarikh-tarikh sebeginilah yang membuat orang ramai berlumba-lumba untuk mengabadikan sesuatu kenangan dalam hidup mereka. Buktinya, majlis perkahwinan, percutian @ apa saja peristiwa yang istimewa akan dilakukan pada tarikh-tarikh sebegini. 




Raikanlah apa sahaja, selagimana ia tidak bercanggah dengan syariat seperti kepercayaan karut yang melanda minda masyarakat kini. Ada yang mempercayai bahawa tarikh-tarikh "cantik"  ini membawa tuah dan tidak kurang yang mengatakan ianya mengundang bencana. Bagi yang masih mempercayai rukun iman yang ke-6, iaitu percaya kepada Qada' dan Qadar, InsyaAllah, diri anda terselamat daripada permainan dunia.

Namun, pernah @ tidak anda terfikir anda bahawa tarikh-tarikh "cantik" ini telah tercatat dimana hari anda akan kembali kepada PENCIPTA. Jika tarikh kematian boleh dipilih seperti tarikh perkahwinan, adakah ada di antara kita yang akan memilihnya tarikh-tarikh tersebut sebagai "hari perpisahan"? Ya atau tidak, yakinlah bahawa Allah telah menyiapkan satu tarikh "cantik" untuk kita semua kembali kepada-NYA.


Mati itu pasti.

Ya. Mati itu pasti. Firman Allah:


"Dialah yang menciptakan kamu dari tanah, sesudah itu ditentukan ajal(kematianmu), dan suatu ajal lagi yang tertentu disisi-NYA (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat) dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu(tentang hari pembalasan)" (Surah Al-An'am-ayat 2)  
 Bekalan mati.


Andai pergi berkelah ke pantai atau bermusafir ke negeri yang berlainan, ramai yang menyediakan bekalan seperti makanan, minuman, pakaian dan apa sahaja keperluan diri, namun, merentasi "perjalanan panjang" ini tidak memerlukan itu semua. 


Amalan-amalan yang kamu lakukan di dunia ini lah sebagai bekalan yang akan menentukan ke mana berakhirnya perjalanan kamu ini. Jika dunia ini lebih kau cintai, nerakalah tempat yang selayaknya, namun, jika akhirat menjadi kecintaanmu, berbahagialah kamu di syurga yang abadi.


Firman Allah:




"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Barang siapa dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka sungguh ia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan". (Surah Al-Imran: 185) 


Dunia ini adalah satu ujian. Kita semua telah diciptakan untuk diuji. Segala baik buruk yang berlaku adalah ujian. Kegembiraan dan kesenangan adalah ujian. Kesedihan dan kesusahan juga adalah ujian.


Firman Allah:

"Tiap-tiap yang berjiwa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan" (Surah Al-Anbiya- ayat 35).


Beramal lah kita dengan bersungguh-sungguh kerana esok belum tentu kita dapat melihat dunia. Buatlah kebaikan seolah-olah itulah kali terakhir kamu melakukannya. Dan bila waktu itu datang, kita tidak dapat menunda walaupun sedetik pun. Terputuslah hubungan kita dengan isi dunia melainkan 3 perkara yang masih menjadi "peneman berguna" kepada kita.


Sabda Rasulullah SAW:
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah  amalannya kecuali 3 perkara iaitu, anak yang soleh yang mendoakannya, ilmu yang dimanfaatkan dan sedekah jariah yang ditinggalkan".
Namun, jika mempunyai anak yang jauh dari agama, ada ilmu namun tidak beramal, ada harta tidak dikongsi bersama, cuba fikirkan bagaimana " 3 bekalan" ini boleh menjadi "peneman setia" anda di alam sana? Renung-renungkan.


Jom ingat mati!


Kesimpulannya, usia muda bukanlah alasan untuk ajal tidak menjemputmu, usia tua bukanlah satu penamat yang pasti kerana mati tidak mengenal itu semua.
"Jika anda ingin dikatakan sebagai orang yang kuat, kuasai lah sifat marah anda, namun jika anda ingin dikatakan bijak, ingatlah mati"

No comments:

Post a Comment