Saturday, January 26, 2013

Elak-elak..

Assalamualaikum w.b.t

Entri ini bagi meraikan hati remaja yang bertanya.

"Bagaimana hendak mengelak daripada menemani orang yang hendak 'berdating'?"


Begini caranya :

1.  Katakan tidak.

Katakan sahaja kamu tidak berminat untuk mengikutnya. Cipta alasan mengatakan kamu ada kerja yang perlu diselesaikan, penat, tiada mood untuk pergi ke mana-mana dan alasan yang munasabah. Percayalah, jika kamu sering mencipta alasan setiap kali dia mengajakmu, berkemungkinan dia akan bosan dan tidak mengajakmu lagi. Memang kamu akan terasa serba salah kerana menipu, namun fikirkan kembali, tidakkah anda merasa tidak bersalah bersubahat dengan dirinya membuat perkara yang di larang Allah s.w.t?

2. Jaga akhlakmu.

Kita seringkali jatuh hati dengan akhlak seseorang. Jika kita berada dalam kalangan orang-orang yang berakhlak mulia dan memelihara diri, kita akan malu untuk melakukan sesuatu yang salah di hadapannya. Oleh itu, perbaikilah akhlak kita dahulu sehingga membuatkan teman-teman kita malu untuk membuat dan mengajak kita membuat perkara yang salah. Contohnya, jika kamu jenis yang suka menjaga pergaulan dengan mengehadkan batas-batas pergaulan dengan bukan mahram serta tidak terjebak dengan sebarang cinta picisan, in shaa Allah, rakan kamu segan untuk mengajak kamu menemaninya kerana hormatkan diri kamu.

3. Elakkan diri bertanya kisah cintanya.

Adat berkawan, apatah lagi kawan baik. Semua benda akan berkongsi. Namun, bab kisah percintaan atau apa sahaja berkaitan dia dan jejaka itu, elakkan daripada bertanya rakan anda terlalu kerap. Jika rakan bercerita tadahkan sahaja telinga anda namun, pandai-pandailah anda mengehadkannya dan mengubah topik. Lakukan dengan berhemah supaya tiada hati yang tersinggung. Jika rakan anda seorang yang prihatin, dia akan jarang bercerita dengan anda tentang kisahnya kerana dia menyedari bahawa anda tidak begitu berminat dengan kisahnya. Kalau tidak berminat untuk mendengar, sanggupkah lagi rakan anda mengajak anda keluar menemaninya?

4. Nyatakan prinsip.

Yang ini paling susah untuk dibuat. Saya pun susah bila dalam keadaan begini. Namun, kita harus cuba praktikkan sekali-sekala. Nyatakan terus prinsip kita padanya dengan pelbagai ayat contohnya: "Kalau awak nak ajak saya pergi mana2, in shaa Allah saya boleh teman, tapi satu sahaja yang saya tak akan pergi, teman awak keluar dating. Maaflah, saya tak suka". Beritahulah dengan nada bergurau atau apa cara sekalipun. Berhemah dalam berkata-kata. 



* Bercakap berdasarkan pengalaman. Biarpun kita tidak pernah sempurna, namun sampai bila kita tidak mempunyai kekuatan untuk berubah menjadi lebih baik. Tidak mampu untuk berubah sekaligus, namun cubalah untuk berubah satu persatu. 

* Tiada ilmu yang tinggi untuk bercakap soal agama. Namun, kadangkala logik akal dan pengalaman boleh dijadikan iktibar yang berguna. 

* Mohon maaf andai entri ini ada mengguris hati sesiapa. Maaf juga jika ada kekurangan. =)

No comments:

Post a Comment