Wednesday, May 22, 2013

Warkah Buat Kakak..

Assalamualaikum wbt

Surat ini ku tulis khas buat arwah kakak ku yang berada di alam sana. Diriku memahami yang surat ini tidak akan pernah sampai kepada penerimanya, namun, adikmu terlalu ingin berbicara padamu. Semoga Allah sampaikan segala isi hati ini padamu duhai kakak yang ku rindu. 

Kakakku,

Hanya tinggal beberapa hari lagi menjelang hari konvokesyenku. Hari yang memang akan ditunggu-tunggu oleh para graduan yang telah bertungkus lumus menamatkan pengajian selama beberapa tahun demi menggenggam segulung ijazah. Begitu  juga dengan diriku. Aku ternanti-nanti saat ini, di mana penat lelahku diiktiraf dan segulung ijazah inilah yang akan membuatkan tulang belakang disebalik sebuah kejayaan berasa bangga. Pertama sekali yang terlintas semenjak ketiadaan kamu ialah "Sedihnya, kakakku tiada di hari istimewaku, Hari konvokesyen dan Hari Perkahwinanku". Namun, aku akur dengan ketentuan takdir. Namun, beberapa hari ini, rasa ini datang lagi. Aku merindui kehadiranmu. Kerana kamu lah yang menjadi tulang belakang ku sejak mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah sehingga masuk ke menara gading. Namun, sebelum sempat melihat aku berjaya, dirimu telah pergi.

Kakakku,

Aku rasa terkilan. Saat ini otakku kembali mengimbas bahawa begitu bersemangatnya kamu apabila meraikan sesuatu peristiwa. Teringat sewaktu konvo adik-adikmu yang lain, kamu begitu semangat datang untuk merai. Begitu juga perkahwinan mereka, kamu lah yang bertungkus-lumus siang malam untuk melakukan yang terbaik. Namun bila tiba giliranku, aku tidak dapat merasakan semua itu. Kamu tiada untuk meraikan diriku. Aku tidak dapat merasakan saat gembira menerima sejambak bunga daripada seorang kakak apabila keluar daripada pintu dewan tersebut sebagaimana adikmu yang lain pernah merasakannya. Aku tidak dapat melihat wajah gembiramu melihat aku berpakaian sebagai seorang graduan. Aku tidak dapat mengabdikan walaupun sekeping foto kenangan di hari kejayaanku. 

Kakakku,

Teringat waktu persekolahanku, kamu lah yang sentiasa membantu ku dalam pelajaran. Kamulah yang menyiapkan karangan Bahasa Melayu untukku. Kamulah yang melukis gambar buah-buahan sehingga guru Seni memilih lukisan tersebut di antara lukisan yang terbaik. Kamu lah yang menebang pelepah pisang ketika guru Seni meminta untuk membawanya ketika subjek Pendidikan Seni. Kamulah juga yang mengumpulkan lidi untuk kegunaan ku  bagi subjek Matematik. Akhirnya, bila tamat sekolah rendah aku berjaya mendapat 5A. Bila di sekolah menengah, kamu lah yang sering melawatku ketika di asrama membawa bekalan makanan. Pada bulan puasa, kamu lah yang membawa masakan yang sedap untuk juadah berbuka. Disaat aku di pulaukan oleh beberapa orang senior kerana dituduh melaporkan kepada pengawas asrama tentang solat di dorm, kamu lah yang begitu bersemangat untuk bersemuka dengan senior tersebut untuk mempertahankan diriku. Aku bertahan kerana aku tidak bersalah. Dan akhirnya memang terbukti aku tidak bersalah. Tamat SPM, aku berjaya mendapat 444. Saat di alam menara gading, kamulah yang mengirimkan wang kepadaku jika elaunku lewat masuk. Kamulah yang sering menghantar msg bertanya khabar. Kamulah jua yang selalu bersemangat mengambil tahu tentang diriku. Segala keinginanku, pasti kamu cuba tunaikan walaupun aku tidak memaksamu untuk menunaikannya. Apabila pulang bercuti, rumah kamu lah akan menjadi tempat aku habiskan masa bercerita segala cerita, makan dan sekali-sekala tidur di situ. Jika kamu bertandang ke rumah, bilikku akan pasti dijejaki oleh mu jika aku tiada di ruang rumah. Diriku jua lah yang kamu paksa untuk menemanimu ketika ingin membeli-belah. Dan bila tamatnya pengajianku, kau tiada.

Kakakku,

Aku tidak menyangka kamu terlebih awal meninggalkan diriku. Kepergianmu sungguh tidak aku duga. Kamu menanggung sakit yang tidak mungkin kamu jangka. Dari awal kamu di sahkan sakit, aku begitu kecewa menerima segala ketentuan ini. Sehinggalah kamu pergi. Saat itu, aku terasa hilang segalanya. Namun, untuk pengetahuanmu, aku ada teman yang sering menjadi pendorong untuk aku selalu tabah menghadapi kehilanganmu. Namun, di saat aku merinduimu tiada seorang pun yang dapat memahamiku. Aku ada kawan untuk berkongsi saat gembira, namun di saat aku merinduimu, aku sendiri menahan segala rasa. Hanya Allah yang bisa mendengar segala kerinduanku padamu. 

Kakakku,

Sesungguhnya aku merasa sebuah kehilangan. Segala seri hidup tiada. Setiap apa yang diraikan, pasti akan teringatkanmu. Segalanya hambar tanpamu. Kamu cuma bisa hadir di dalam mimpiku. Sebelum hari itu tiba, hadirlah walau sekali dalam mimpiku untuk aku melihat kau gembira dengan kejayaanku.


Sekian.

Daripada seorang adik yang merinduimu..


"Ya Allah, aku memohon pada-Mu, cucurilah rahmat ke atas rohnya, dan tempatkan lah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman."

No comments:

Post a Comment