Saturday, September 29, 2012

Bedah Buku: Pemuda Yang Dirindukan Syurga

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah saya berkesempatan untuk membedah buku yang bertajuk seperti di bawah:



"Pemuda hebat..
Dunia melamarnya..
Syurga merinduinya.."


Gambaran pemuda zaman kegemilangan Islam:

  • Semangat memanfaatkan masa muda

- Semangat Abdullah bin Amr bin Al-Ash
"Saya mengumpulkan al-Quran dan membacanya dalam jangka masa satu malam"

Semangat Abdullah bin Umar bin Al-Khatab

Sabda Baginda s.a.w :
"Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, kerana dia bangun pada sebahagian malam untuk solat"

Semangat Hamzah Al- Aslami
"Wahai Rasulullah, aku adalah pemilik tunggangan yang sedang aku ubatkan. Aku akan bermusafir dengannya serta menyewakannya. Barangkali aku akan bertemu bulan ini, iaitu Ramadhan dan aku memiliki kekuatan kerana masih muda. Wahai Rasulullah, aku berasa berpuasa lebih ringan bagiku berbanding melambat-lambatkannya sehingga ia menjadi hutang ke atas diriku. Wahai Rasulullah, apakah puasa aku ini akan mendapatkan pahala yang besar ataupun patut berbuka?
Maka Baginda bersabda : "Kerjakan apa yang engkau kehendaki, wahai Hamzah" 

  • Pemuda dan Ilmu
Rasulullah s.a.w bersabda:
 "Orang yang paling pengasih dari umatku adalah Abu Bakar, yang paling keras (dalam membela) agama Allah adalah Umar, yang paling pemalu adalah 'Uthman, yang paling bijak keputusannya adalah Ali bin Abi Talib, yang paling pandai membaca kitab Allah adalah Ubay bin Ka'ab, yang paling mengetahui perkara halal dan haram adalah Muadz bin Jabal, dan yang paling tahu akan hukum faraidh adalah Zaid bin Tsabit. Ketahuilah, bahawa tiap-tiap umat ada orang kepercayaan dan kepercayaan umay ini adalah Abu Ubaidah bin Jarrah"

  • Pemuda dan Iman
Hassan bin Tsabit berkata tatkala memuji Thalhah bin Ubaidillah dalam qasidahnya:
"Dan Thalhah pada hari tercerai-berai tetap menemani Muhammad
 Pada saat tersepit dan penuh kesukaran
Dia melindunginya dengan kedua tangannya sehingga baginda selamat
Sedang jari-jarinya di bawah pedang telah lumpuh
Beliau bersama Muhammad berada di barisan paling depan
Menegakkan panji Islam sehingga terbebas" 

  • Pemuda dan Amal Soleh
Daripada Muhammad bin Yazid, bapanya mengkhabarkan kepadanya:
"Sesungguhnya Abdullah bin Umar mempunyai mihras di dalamnya berisi air. Beliau pun solat menurut kadar kemampuannya. Ketika berasa letih, dia menuju ke tempat tidurnya, lalu tidur ringan sebagaimana seekor burung. Setelah itu dia bangkit, berwuduk dan kembali mendirikan solat. Beliau mengerjakan yang demikian empat ataupun lima kali dalam semalaman."

  • Pemuda dan Adab
- Usamah bin Zaid
Pada zaman 'Uthman bin Affan, harga pohon kurma naik sehingga seribu dirham sepohon. Maka Usamah sengaja mendatangi pokok kurmanya kemudian mencabut dan mengeluarkan isinya (lemak dan minyak) lalu dia memberi makan kepada ibunya.
Mereka yang melihat perbuatannya berkata: "Apa yang membuat kamu melakukan hal ini, padahal engkau mengetahui kalau harga pohon kurma sekarang mencapai seribu dirham?"
Usamah pun menjawab, "Ibuku yang memintanya dan sesungguhnya aku pasti akan memenuhi permintaannya selagi aku terdaya." 

  • Pemuda dan Dakwah
- Dakwah Thulaib bin Umair kepada Ibunya
Thulaib berkata: "Wahai ibuku, apa yang menghalang ibu daripada memeluk Islam dan menjadi pengikut (Muhammad)? Padahal saudara lelakimu Hamzah telah memeluk Islam?"
Dia pun berkata, "Lihatlah apa yang akan dilakukan oleh saudara-saudara perempuanku, kemudian aku akan menjadi salah seorang daripada mereka."
Berkata Thulaib, "Saya mohon kepadamu kerana Allah, kecuali jika ibu datang dan menyerahkan diri serta membenarkannya. Kemudian ibu bersaksi bahawa tiada yang patut disembah melainkan Allah."
Maka sang ibu berkata, "Sesungguhnya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah."
Setelah itu, beliau begitu gigih dan bersunguh-sunguh membela nabi dengan lisannya. Juga menganjurkan dan membangkitkan semangat anak-anaknya agar membela dan menolong Rasulullah serta melaksanakan segala perintah-Nya. 

  • Pemuda dan Jihad
- Dua beradik berlumba memerangi musuh Allah
Abdur Rahman bin Auf berkata, "Aku berada dalam barisan pasukan Perang Badar. Ketika aku menoleh ke kiri dan kananku, aku mendapati dua orang pemuda yang masih belia. Seolah-olah tidak merasa aman dan khuatir akan keadaan mereka berdua."
Tiba-tiba salah seorang daripada keduanya berbisik kepadaku, "Wahai bapa saudara, tunjukkan kepadaku yang mana satu Abu Jahal."
Aku bertanya pula, "Wahai anak saudaraku, apa yang akan kau lakukan kepadanya?"
Dia menjawab, "Aku telah berjanji kepada Allah, jika aku melihatnya aku akan membunuhnya ataupun aku yang terbunuh kerananya."
Dan temannya yang seorang lagi juga berbisik kepadaku seperti itu. Abdur Rahman berkata, "Aku berada di antara kedua pemuda tersebut dan aku khuatir akan keselamatan mereka. Lalu aku menunjukkan kepada mereka berdua posisi Abu Jahal. Serentak keduanya menerjang dua ekor al-sharq sehingga berhasil membunuhnya. Kedua pemuda itu adalah anak 'AFRA."

Ini lah intipati buku ini. Membaca buku ini membuatkan saya merindui untuk kembali ke zaman generasi awal Islam. Saya mengagumi semangat yang ditunjukkan mereka. Mereka mempunyai kualiti diri yang boleh dibanggakan agama. Masih adakah lagi generasi sebegitu pada zaman kini?


Buat syabab agama:

1) Dunia membutuhkan syabab-syabab agama yang hidup matinya kerana Allah s.w.t
2) Jangan kau lalai dengan permainan dunia yang fana.
3) Ayuh syabab, bangkitlah!

Wednesday, September 26, 2012

Muhasabah

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah, malam ini saya mempunyai ruang untuk menulis. Menulis untuk berkongsi rasa hati. Malam ini banyak yang berlegar-legar difikiran saya. Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah masih sayangkan saya kerana mendetikkan hati saya untuk sentiasa muhasabah diri.

Banyak perkara yang perlu saya titik berat kan. Saya perlu berdisiplin. Saya sudah dewasa. Saya muslimah. Saya serikandi Islam. Satu hari nanti saya bakal menjadi seorang isteri dan ibu kepada bakal-bakal pejuang Islam. Saya perlu mempunyai kualiti diri.

Saya harus berdisiplin dalam perkara ini:

-Menjaga solat.
-Khatam Al-Quran sekurang-kurang 2 bulan sekali.
-Al-Mathurat pagi dan petang.
-Banyakkan amalan sunat.
-Banyakkan bahan bacaan keagamaan.
-Dengar ceramah-ceramah agama.
-1 minggu 1 tokoh Islam ( tak kenal maka tak cinta)
-Kurangkan perkara yang melalaikan.
-Berbaik sangka walaupun pahit
-Jaga akhlak.
-Jaga aurat. (rindukan pakaian itu..)

Banyak lagi yang bermain di minda saya. Itu sahaja mampu dicoretkan. Saya harap kita mempunyai misi yang sama. Kita perlu berubah. Jangan sia-siakan teguran daripada Allah. Mungkin selama ini kita sudah melakukan semua perkara di atas, namun, manusia mudah leka dan terlupa. Ayuh, kita sama-sama tingkatkan ibadah kita pada Allah. 

Iman kita sering diduga. Jangan rasakan amalan kita sudah banyak dan terbaik daripada yang lain. Kualiti lebih penting daripada kuantiti. Orang yang amalannya sedikit tetapi ikhlas dan diterima Allah lebih baik daripada orang yang sentiasa beribadah kepada Allah namun sekadar ingin menunjuk-nunjuk. Muhasabah lah diri anda. Jangan riak dengan amalan yang banyak. 

Ramai yang merasakan dirinya sudah cukup hebat apabila sentiasa menghadiri ilmu agama, sentiasa berkunjung ke masjid, dan sebagainya. Ingatlah, hanya Allah yang mampu menilai. Manusia mampu melabelkan apa sahaja. Namun, Allah ada kayu ukur-NYA yang tersendiri.

Ingat! Jangan riak. Jaga niat.

Saturday, September 8, 2012

Selangkah Ke Hadapan

Assalamualaikum w.b.t

Alhamdulillah. syukur. syukur. syukur. Hanya itu yang dapat saya luahkan. Saya sangat gembira kerana saya hampir ke arah itu. Berbuat satu kebaikan adalah sangat sukar kerana pelbagai penghalang yang tiba. Tahniah buat diri saya kerana saya berani untuk selangkah ke hadapan.

Allah takdirkan saya melangkah ke tempat itu. Saya keliru. Namun, ketika Allah mengizinkan saya mengalami kembali saat itu, saya sebak dan hampir menangis. Saya terharu dengan keyakinan yang telah Allah hadirkan dalam diri saya. Ya Allah, jika mak cik itu tiada disitu, saya rasa air mata ini tertumpah jua. Terima kasih mak cik sudi melayan permintaan saya. Allah takdirkan mak cik memenuhi hasrat saya. Saya terasa ingin memeluk mak cik. Ya Allah, indahnya hidayah dari-MU. 

Kerana hasrat saya tercapai, saya telah menghadiahi teman-teman saya hadiah istimewa. Saya gembira melihat kecerian mereka menerima hadiah yang tidak seberapa daripada saya. Tiada yang lebih bernilai daripada indahnya mengalami hari ini. 

Saya ingin mara selangkah lagi. Itulah kemuncaknya. Doakan saya.

1) Semoga saya istiqomah.
2) Saya tidak sabar menunggu saat itu.
3) Saya sebak.

Wednesday, September 5, 2012

Khat & Jawi Di Hati

Assalamualaikum w.b.t

Khat di hati? Macam pelik sahaja bunyinya..Hehe..Aduhai, saya memang suka yang pelik-pelik ini. Bahasa kalau tak indah, memang bukan saya lah. Berbalik kepada tajuk entri ini, saya maksudkan ialah Seni Khat. Oh, saya memamg teruja kalau dengan tulisan khat ini. Cuma saya tidak pandai untuk menulis tulisan khat secantik orang-orang yang profesional menulisnya. Saya hanya tahu tulis jawi. Haha.

Sewaktu sekolah rendah hingga sekarang, saya bersyukur kerana Allah telah kurniakan satu anugerah buat saya iaitu "saya pandai meniru tulisan tangan orang, dengan syarat, saya tahu cara orang tersebut memegang pensel @ pen.". InsyaAllah, saya dapat meniru tulisannya. Saya masih ingat lagi saya selalu bertukar-tukar buku latihan dengan rakan baik saya dahulu. Saya akan membuat kerja sekolahnya, dan dia akan membuat kerja sekolah saya. Padahal kerja sekolah kami sama sahaja. Nama pun satu kelas. Hehe. Tapi, ketika sekolah rendah,  saya tidak mengenali tulisan khat dan saya tidak pernah menghiraukan tulisan jawi saya sama ada cantik atau tidak. 

Bila sudah sekolah menengah, memandangkan saya bersekolah di sekolah agama, tulisan jawi memang selalu digunakan. Maklumlah, saya mengambil subjek Pendidikan Islam, Syariah Islamiah, Al-Quran & Sunnah, dan Bahasa Arab. Semua notanya dalam tulisan jawi. Saya amat mementingkan kecantikan huruf-huruf jawi yang ditulis. Perangai buruk saya adalah mengoyakkan kembali nota yang dibuat jika ada tulisan yang tidak cantik. Aduhai, teruknya saya pada waktu itu. Haha. Waktu saya berada dalam menengah rendah, saya  tekun membuat nota Pendidikan Islam dengan begitu cantik, kemas, dan padat disebabkan apa yang di sebut oleh ustazah saya itulah yang akan keluar dalam soalan peperiksaan. Hati saya tidak tenang bila nota Pendidikan Islam tidak dapat disiapkan. Huhu. Memandangkan perangai saya semacam ini, rakan-rakan sering meminjam buku nota saya. Alhamdulillah, saya selalu mendapat markah yang cemerlang dalam subjek Pendidikan Islam. Saya teringat pada satu ketika, ustazah memarahi semua budak kelas saya kerana tidak mendapat markah yang cemerlang. Kebetulan, saya mendapat markah tertinggi dan ustazah menyuruh saya berdiri. Beliau menanyakan kepada saya tips mendapat markah sebegitu. Saya berasa sangat malu kerana saya tidak lah sepandai yang lain, tapi memandangkan saya suka dengan subjek itu dan bersemangat membaca nota saya yang telah dihias indah (saya sangat perasan..>_< ), saya menjadi teruja untuk terus menghafalnya setiap nota tersebut. Saya pun hanya menjawab "sebab saya selalu catat dan baca apa yang ustazah cakap". Tutuplah cerita ini. 

Tapi bila berada di peringkat menengah atas, saya selalu malas untuk menulis jawi memandangkan saya rasa tulisan saya tidak cantik. Tetapi, untuk meningkatkan kerajinan saya, saya sering melihat dan meminjam buku teman sekelas saya memandangkan tulisannya sangat cantik. Najwa, terima kasih kerana menjadi pendorong! Satu lagi yang saya cemburukan, tulisan jawi abang saya sangat cantik. Tetapi, dia selalu menafikannya. Sampai sekarang, beberapa orang sahaja yang tahu bahawa abang saya mempunyai tulisan jawi yang cantik, dan pandai melukis. Dengan isterinya pun dia menafikan. Aduhai. Sadis. Bilanya saya hendak ceritakan pasal khat pula? Aduhai. Panjang sungguh perjalanan pasal tulisan jawi. Begini ceritanya, dahulu, kami mempunyai abang senior tingkatan 6 yang pandai menulis tulisan khat. Kebetulan, saya mempunyai kakak angkat juga sekelas dengan dia. Ketika hendak berpisah kerana mereka sudah tamat sekolah, kakak angkat saya menghadiahkan satu kad yang terlakar pesanan dalam tulisan khat yang ditulis oleh abang tersebut. Sejak itulah saya teringin menulis tulisan khat. Hehe.

Bila memasuki alam perguruan, saya dah jauh meninggalkan tulisan jawi dan khat. Kebetulan sewaktu saya memasuki persatuan di maktab saya, kami membuat lawatan ke Yayasan Restu, inilah permulaan saya menyambung kembali kecintaan saya kepada tulisan khat. Saya pun teruja ketika pihak mereka membuat satu kursus belajar tulisan khat. Susah tapi menarik. Mulai hari itu, saya memasang angan-angan untuk menyambung pelajaran di Yayasan Restu satu hari nanti dalam bidang penulisan khat. Harap-harap saya dapat posting di sekitar Selangor. Kalau tidak dapat meneruskan hasrat tersebut pun, saya berharap saya dapat belajar secara sambilan pun jadi lah. Harap semua dapat doakan saya..=) Saya pun selalu mengenakan rakan serumah untuk menghadiahkan saya pen khat di hari jadi saya. Itu sudah memadai. Hihi. Tapi sampai sekarang tiada. Terpaksalah belinya dengan duit sendiri satu hari nanti. ^^

Satu perkara yang mengejutkan, baru saya tahu teman sekolah saya dahulu pernah bekerja di Yayasan Restu. Aduh, patutlah ketika melihat template berkaitan tawaran belajar di situ, saya terasa seperti pernah melihatnya. Tapi malangnya saya tidak nampak pun kelibat dia ketika lawatan ke sana. Melepas saya untuk mendapat satu kad special darinya. Hehe. Sampai sekarang saya selalu membuka facebooknya untuk melihat hasil-hasil tulisannya. Aduh. Cemburu saya. 

Teringat pula bila saya rasa rindu menulis jawi, saya selalu menconteng kertas dan menulis pada buku-buku saya apa-apa sahaja dalam tulisan jawi. Huhu. Saya harap suatu hari nanti saya dapat menyuburkan kembali kecintaan saya kepada jawi dan khat ini. Harap-harap suami saya nanti berkongsi minat dengan saya dan merestui minat saya. Amin.

Seni khat dan jawi memang di hati saya..

1)Saya menunggu hadiah berupa "pen khat" daripada sesiapa sahaja. Tolonglah hadiahkan pada saya. Haha.
2)Saya terasa hati bila dia berkata yang dia tidak faham apa yang dituliskan oleh saya pada buku tersebut. Terus menganggap yang diri saya tersalah eja dan tulisan saya tidak cantik. Aduhai, jauh hati saya sejauh sejengkal. Haha.
3)Saya menulis entri ini pada waktu yang sama saya membuka microsoft word untuk membuat assigment. Mana yang lebih penting? Haha.


Sunday, September 2, 2012

Bisik Hati

Assalamualaikum w.b.t

Ya Allah, entah kenapa malam ini keinginan saya membuak-buak untuk membuat sesuatu yang telah lama saya impikan. Semoga Allah mempermudahkan niat suci ini. Semoga ianya menjadi titik tolak dalam mengharungi dunia yang semakin tua ini. Amin..=)

1) Saya ada mereka yang mendoakannya.
2) Beberapa hari ini, saya penat untuk terpalit dalam permasalahan mereka.
3) Buat dia : Selama ini mereka sering berbicara tentang kamu, sedangkan masa berlalu dengan Allah membenarkan saya melihat yang mereka sedang melakukan apa yang pernah mereka bicarakan tentang kamu. Allah Maha Adil.