Wednesday, December 18, 2013

Simpul Satu *11/12/13*

Assalamualaikum wbt.

Terasa sudah lama tidak menulis. Niat membuka laptop adalah untuk menulis, namun untuk ke sekian kalinya masih jua terbengkalai. Aish. Mood tidak mahu bekerjasama dengan baik dengan jari-jari ini. Hari ini saya gagah kan jua untuk menaip entri simpul satu ini. Ini lah entri kurang rajin nama nya. Semua cerita simpul satu dalam satu entri. Fuh~ 

1. Cuti Kerja.

Ya. Saya dalam mood cuti kerja. Setelah berpenat lelah di perantauan, memang seronok dapat pulang ke pangkuan keluarga. Cuti saya bermula daripada pertengahan bulan November hingga akhir bulan Disember. Namun, yang sedihnya saya harus pulang beberapa hari sebelum kembali bertugas. Tarikhnya pula jatuh pada hari kelahiran saya. Sungguh sedih kerana tidak dapat meraikannya bersama keluarga. Saya harus pulang untuk mesyuarat dan memenuhi jadual bertugas saya. Ini lah pengorbanan namanya. Walaupun kecil, namun ia besar bagi hidup saya kerana tahun-tahun mendatang juga akan seperti ini jua. Sabarlah duhai hati.

2. Kenduri Kahwin.

Memang berderet-deret jemputan kahwin. Yang lucunya, 3 jemputan adalah pada hari yang sama. Dua jemputan insya Allah mampu dipenuhi, namun, satu jemputan lagi, hanya dalam mimpi kerana berlainan negeri. Aduhai, dan ketiga-tiga mereka adalah daripada kelas yang sama. Haha. Memang terbaik lah mereka. Sehati, sejiwa, seia, sekata. =) Alhamdulillah. Nanti terubat rindu dengan rakan-rakan sepengajian. Kenduri pada minggu seterusnya adalah di rumah keluarga angkat. Ya, mereka yang dianggap seperti keluarga sendiri. Beria-ria mereka meminta saya datang. Si pengantin sudah beberapa kali memberi pesanan. Yang lain pula juga berharap saya datang. Memang saya harus datang walaupun saya boleh untuk tidak datang. Namun, kerana kasih sayang, saya datang walaupun dengan hati yang hanya Tuhan yang tahu. Saya datang untuk memenuhi satu permintaan satu ketika dahulu. Untuk kali pertama, mungkin juga itu yang terakhir. Biar masa menentukan segalanya. 

3.  Jalan-jalan.

Saya hanya dapat menghabiskan masa di Kuala Lumpur dan Insya Allah di Kelantan selama seminggu. Kedua-dua negeri ini lah menjadi destinasi saya yang paling kerap berbanding negeri lain. Kelantan, tunggu kedatangan saya esok!


* Mood lari pada tarikh entri tersebut harus di publish. Jadi, layan sahaja walaupun tarikh berbeza. Hehe.



Thursday, September 26, 2013

Muhasabah diri.

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama tidak menconteng dinding ini. Tiada cerita menarik. Mungkin ada, namun, lebih kepada menulis dalam minda. =)

Beberapa hari ini selalu terdetik beberapa perkara sebagai muhasabah diri sendiri. Ini monolog dalamanku kepada diriku. 


1. Berhenti mencari. Cuba menjadi. 
Ya. Memang kita dambakan kesempurnaan bila berhadapan dengan sesuatu. Tetapi ingatlah, kita pun tidak sempurna. Kita mungkin akan merendahkan seseorang kerana dia tidak sesempurna kita dalam satu hal. Namun, sedarlah yang dia sempurna daripada aspek lain yang kita tiada. Jadi, siapalah kita untuk melabel sesiapa. Namun, jika kelemahan itu dia paparkan tanpa ada kesedaran, cukuplah kita hanya berkata dalam hati.

2. Jaga pergaulan.
Ya. Jaga pergaulan duhai diriku. Ingatlah diri, kamu seorang muslimah. Tunjuklah contoh yang baik. Mungkin tidak semua, namun, cubalah untuk perbaiki diri menjadi lebih baik dari sehari ke sehari. Janganlah kamu terlalu menonjol di mata umum. Bersederhanalah. Kadangkala kisah hidupmu cukup menjadi kisahmu sahaja. Tidak perlu diwar-war selalu pada umum. Duhai diri, kamu adalah madrasah untuk bakal anak-anakmu nanti. Adakah kamu layak untuk menjadi seorang ibu yang baik nanti jika hari ini kamu hidup terlalu leka. Teringat pula kalam seorang ustazah. "Perhatikan dia di alam maya. Lihat cara tulisannya. Adakah kata-kata yang baik sahaja atau perbualan yang lagha sahaja tanpa mengira jantina. Memanjangkan perbualan yang sia-sia." Mengapa ini penting? Jika ini berlarutan, mungkin pasanganmu nanti akan terbawa-bawa dalam alam rumahtangga, bergaul tanpa mengira batas. Siapa yang akan menempah bahana cemburu? Kamu juga. Kamu. Duhai diri, jika kamu tidak mahu mendapat pasangan yang sebegini, kamu lah yang mulakan muhasabah diri. Ingat, apa yang kita buat hari ini, itulah yang akan kita tuai satu hari nanti. 

3. Jaga penampilan.
Penampilan biar nampak sederhana. Biarlah orang mengata kamu kuno dengan pakaian sebegitu. Warna kelam, kurang ceria. Biarlah duhai diri, cukuplah akhlak dan senyumanmu menjadi penceria semulajadi. Tidak salah untuk memakai warna ceria tetapi jangan terlalu menonjol. Biarlah tidak berfesyen, biarlah. Jaga nilaimu untuk bakal suamimu duhai diri. 

4. Jaga malumu. 
Kamu muslimah. Jaga malumu. Biarlah di kata sombong. Biarlah tidak seramah orang lain. Biarlah duhai diri. Ramah lah kamu secara bertempat. Jaga dirimu. Jaga imanmu. Bila di khalayak umum atau maya, jagalah tingkahmu. Jangan bercakap atau menulis sesuatu yang mencemarkan nilai seorang muslimah. Tidak perlu memapar gambar-gambarmu yang tidak sempurna menutup aurat. Ingatlah, rupamu sahaja boleh menimbulkan fitnah. Janganlah manjakan diri untuk melayan kerenah nafsu semata-mata ingin berbangga bila dipuji cantik. Cukuplah untuk tatapan mereka yang berhak. Duhai diri, engkau mahal kerana ada malu dalam dirimu. Ingatlah!

5. Tinggalkan segala kenakalanmu di masa lalu.
Duhai diri, dulu semasa kamu masih jahil mengenai segalanya, banyak perkara yang tidak sepatutnya berlaku. Namun sekarang, tingkatkan nilai diri. Kamu bukan yang dulu. Yang dulu pengajaran. Jika tiada yang dulu, kamu tidak ambil iktibar sekarang. Kisah silam biar jadi khazanah yang tersimpan. Jadilah diri kamu yang baru. Berbangga dengan dirimu yang baru. Jangan terlampau mengingati kenakalan masa silam. Duhai diri, kamu adalah seorang muslimah yang baru. Kamu masih ada kebaikan. Senyumlah pada masa hadapanmu. =)

Muhasabahlah diriku pada malam yang sunyi ini. Kuatkan iman. Ya. Kuatkan azam. Istiqomah. Sedikit demi sedikit. Yakinlah, kamu boleh menjadi muslimah yang terbaik. =)

Thursday, August 8, 2013

1 Syawal..

Assalamualaikum wbt..

Coretan 1 Syawal :

1. Alhamdulillah. Tahun ini tidak berapa sunyi raya saya. Abang saya masih ada pada hari raya pertama walaupun sepatutnya giliran dia di rumah mertua. Entah kenapa mereka menukar plan. Boleh merasa raya dengan si debab lagi. =)
2. Tahun pertama beraya sebagai seorang yang bekerjaya. Harus lah kena bagi duit raya. Alhamdulillah. Gaji pertama sudah masuk. Masih ada rezeki mereka. Masih berpeluang menyediakan serba sedikit persiapan raya. Istimewa sedikit pada kali ini, dapat bawa balik kek lapis Sarawak untuk family sendiri. Duit raya apatah lagi. Semoga dapat menggembirakan mereka. =) Ada juga yang sudi memberi duit raya namun saya menolaknya. Seganlah. Hehe. Boleh pula terlupa beri duit raya untuk tok. Bila dah masuk kereta baru teringat. Esok-esok sahaja lah nampaknya. 
3. Bila berkunjung ke rumah jiran dan saudara mara, melangkah sahaja masuk ke rumah mereka, mesti akan ada suara yang mengatakan, "Eh, orang jauh datang." Hehe. Maklumlah, kerja di seberang laut. 
4. Pagi hari raya baru baju raya siap di alter. Terasa ingin menangis kalau tidak dapat pakai baju warna itu sebab sudah merancang terlalu lama untuk memakai warna itu pada 1 Syawal. Nasib baik hasrat tercapai. Namun, saya kelihatan pucat seperti orang sakit memakai warna itu. Huhu. Dalam hati berkata : "Pucat itu lah lebih baik daripada berwarna-warni sekali paras rupa". Saya masih anti dengan make up. Harap suami saya nanti tidak suka isterinya menconteng muka. Hehe. Saya lebih selesa dengan selapis bedak sahaja. Itu pun disebabkan ingin kelihatan tidak terlalu pucat. Kadang-kadang saya keluar selamba sahaja tanpa sebarang touch up di muka. ^^
5. Hari ini hujan pada sebelah petang. Sempat beraya pada waktu pagi sahaja. Lepas mengemas dapur dan solat zohor, saya tidur dengan lenanya hingga ke petang. Letihnya beraya. Hehe. Sambung beraya pada malamnya di rumah abang. Tahun pertama beraya di rumah baru mereka. 
6. Menu seperti biasa, nasi minyak, ketupat, sate dan rendang. Sudah lama tak buat nasi dagang. Saya pun masih liat untuk belajar buat nasi dagang. Masih teringat azam saya akan belajar bila saya betul-betul sudah decide nak kahwin. Takut juga family mertua request nasi dagang. Janganlah. Huhu.

Sekian. 

* Selamat Hari Raya untuk semua. Maaf Zahir dan Batin. *




Sunday, June 23, 2013

Tamat..

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, saya dah khatam Al-Quran pada petang tadi untuk tahun ini. Saya harap bulan Ramadhan nanti saya dapat khatam sekali lagi. Mudah-mudahan. Maklumlah tinggal beberapa hari lagi untuk saya bergelar seorang yang bekerjaya. Saya harap masa saya banyak terluang untuk beribadah di bulan puasa nanti. Tidak dapat bayangkan kalau hari-hari saya sibuk dengan urusan dunia sehingga saya terpaksa mengabaikan rutin saya. Oh my checklist Ramadhan. Semoga saya dapat menyempurnakannya dan bergraduasi dengan baik. =)



Saturday, June 22, 2013

Selamat Datang Sayang..

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Akhirnya selamat dua orang baby lahir ke dunia. Sepasang pula. Bukan kembar, tetapi berbeza ibu ayah. Baby pertama yang lahir adalah baby girl kepada abang dan kakak ipar. Baby boy pula baby kepada kakak angkat saya dan suaminya. Wah, meriah betul bulan Jun ini. Mengikut pengiraan doktor, kedua-dua baby ini keluar melihat dunia pada hujung bulan Jun. Selang sehari sahaja antara mereka berdua. Namun, perancangan Allah swt lebih baik. =)

Baby girl yang lahir 14/6/2013 sudah pun diberi nama, Nur Dhia Alisha yang bermaksud cahaya yang dilindungi Allah. Wah, indah sungguh nama itu. Babah dan ibunya memanggilnya Alisha. Sungguh comel dan berat baby ini. Mana tidaknya, 3.36 kg beratnya. Tidak sabar menanti waktu untuk memeluk dan mencium Alisha. Oh, sebelum terlupa, nama ini di beri kerana ibunya meminati pelakon Adi Putra. Masih ingat drama Tentang Dhia yang popular itu? Haha. Disitu lah nama Dhia boleh muncul kerana itu lah nama heroin yang paling sedap. Kelakar betul. Alisha adalah anugerah terindah kerana pada tarikh kelahirannya jatuh pada Hari Bapa. Sudah 9 hari umur Alisha.

Baby boy  pula lahir semalam pada 21/6/2013. Namanya masih tiada. Beratnya 3.08 kg. Baru 2 hari usianya. Tembam juga pipinya. Sudah menjadi kebiasaan, baby yang baru lahir mempunyai pipi tembam. Haha. Nanti habislah pipi kamu dikerjakan oleh dua orang kakakmu yang nakal itu. 

Semoga kamu berdua jadi anak yang soleh dan solehah. Maaf baby kerana tidak dapat memeluk dan mencium lagi. Jarak memisahkan kita sayang. Selamat Datang Sayang. Tunggu hadiah daripada mak cik mu ini. ;-)



1. Hadiah untuk baby boy hanya menanti untuk sampai ke rumah. Hadiah untuk baby Alisha, tunggu kedatangan mak cik mu ini ke rumah mu. ;-)

2. Terasa segala nama anak yang saya dah simpan untuk anak saya, telah digunakan satu persatu oleh family. Oh, bakal baby saya, harap ayahnya sudi memberi nama terindah buatnya. =)

Tuesday, June 4, 2013

Hari Jubah..

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, selesai sudah "big day" dalam hidup seseorang yang bergelar pelajar. Hari Jubah saya telah selamat berlangsung di Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 27 Mei 2013. Terima kasih kepada mereka yang berada di sebalik kejayaan saya.

Catatan Hari Jubah :

1. Hanya ma yang masuk ke dalam dewan kerana abang - abang saya mempunyai komitmen lain yang memerlukan mereka berada di luar sahaja untuk memudahkan urusan mereka.
2. Mendapat hadiah istimewa daripada insan-insan yang saya sayangi iaitu dua jambangan bunga + teddy bear, handbag dan kerongsang.
3. Hanya sempat bersama keluarga saya dan keluarga teman saya pada Hari Konvo. Padahal sebelum konvo masing-masing merancang untuk bertemu untuk melepaskan rindu setelah lama tidak ke temu. Hanya mampu melihat gambar teman-teman lain dan mengatakan "kita tidak sempat bertemu dan bergambar bersama". Haha. Nasib baik sempat bersembang serba sedikit semasa raptai hari sebelumnya.
4. Tidak menyangka termasuk dalam kos lain sedangkan saya menuntut dalam kos lain. Haha. Kesilapan teknikal yang tidak patut berlaku. Kasihan kami keliru.
5. Sempat bergambar bersama rakan-rakan sekelas setelah selesai urusan raptai di sekitar Putrajaya dan dalam dewan setelah selesai majlis konvo. Terima kasih photographer dan teman saya yang menjadi penaja utama. =)


Selamat Tinggal Kenangan Hari Jubah!




Wednesday, May 22, 2013

Warkah Buat Kakak..

Assalamualaikum wbt

Surat ini ku tulis khas buat arwah kakak ku yang berada di alam sana. Diriku memahami yang surat ini tidak akan pernah sampai kepada penerimanya, namun, adikmu terlalu ingin berbicara padamu. Semoga Allah sampaikan segala isi hati ini padamu duhai kakak yang ku rindu. 

Kakakku,

Hanya tinggal beberapa hari lagi menjelang hari konvokesyenku. Hari yang memang akan ditunggu-tunggu oleh para graduan yang telah bertungkus lumus menamatkan pengajian selama beberapa tahun demi menggenggam segulung ijazah. Begitu  juga dengan diriku. Aku ternanti-nanti saat ini, di mana penat lelahku diiktiraf dan segulung ijazah inilah yang akan membuatkan tulang belakang disebalik sebuah kejayaan berasa bangga. Pertama sekali yang terlintas semenjak ketiadaan kamu ialah "Sedihnya, kakakku tiada di hari istimewaku, Hari konvokesyen dan Hari Perkahwinanku". Namun, aku akur dengan ketentuan takdir. Namun, beberapa hari ini, rasa ini datang lagi. Aku merindui kehadiranmu. Kerana kamu lah yang menjadi tulang belakang ku sejak mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah sehingga masuk ke menara gading. Namun, sebelum sempat melihat aku berjaya, dirimu telah pergi.

Kakakku,

Aku rasa terkilan. Saat ini otakku kembali mengimbas bahawa begitu bersemangatnya kamu apabila meraikan sesuatu peristiwa. Teringat sewaktu konvo adik-adikmu yang lain, kamu begitu semangat datang untuk merai. Begitu juga perkahwinan mereka, kamu lah yang bertungkus-lumus siang malam untuk melakukan yang terbaik. Namun bila tiba giliranku, aku tidak dapat merasakan semua itu. Kamu tiada untuk meraikan diriku. Aku tidak dapat merasakan saat gembira menerima sejambak bunga daripada seorang kakak apabila keluar daripada pintu dewan tersebut sebagaimana adikmu yang lain pernah merasakannya. Aku tidak dapat melihat wajah gembiramu melihat aku berpakaian sebagai seorang graduan. Aku tidak dapat mengabdikan walaupun sekeping foto kenangan di hari kejayaanku. 

Kakakku,

Teringat waktu persekolahanku, kamu lah yang sentiasa membantu ku dalam pelajaran. Kamulah yang menyiapkan karangan Bahasa Melayu untukku. Kamulah yang melukis gambar buah-buahan sehingga guru Seni memilih lukisan tersebut di antara lukisan yang terbaik. Kamu lah yang menebang pelepah pisang ketika guru Seni meminta untuk membawanya ketika subjek Pendidikan Seni. Kamulah juga yang mengumpulkan lidi untuk kegunaan ku  bagi subjek Matematik. Akhirnya, bila tamat sekolah rendah aku berjaya mendapat 5A. Bila di sekolah menengah, kamu lah yang sering melawatku ketika di asrama membawa bekalan makanan. Pada bulan puasa, kamu lah yang membawa masakan yang sedap untuk juadah berbuka. Disaat aku di pulaukan oleh beberapa orang senior kerana dituduh melaporkan kepada pengawas asrama tentang solat di dorm, kamu lah yang begitu bersemangat untuk bersemuka dengan senior tersebut untuk mempertahankan diriku. Aku bertahan kerana aku tidak bersalah. Dan akhirnya memang terbukti aku tidak bersalah. Tamat SPM, aku berjaya mendapat 444. Saat di alam menara gading, kamulah yang mengirimkan wang kepadaku jika elaunku lewat masuk. Kamulah yang sering menghantar msg bertanya khabar. Kamulah jua yang selalu bersemangat mengambil tahu tentang diriku. Segala keinginanku, pasti kamu cuba tunaikan walaupun aku tidak memaksamu untuk menunaikannya. Apabila pulang bercuti, rumah kamu lah akan menjadi tempat aku habiskan masa bercerita segala cerita, makan dan sekali-sekala tidur di situ. Jika kamu bertandang ke rumah, bilikku akan pasti dijejaki oleh mu jika aku tiada di ruang rumah. Diriku jua lah yang kamu paksa untuk menemanimu ketika ingin membeli-belah. Dan bila tamatnya pengajianku, kau tiada.

Kakakku,

Aku tidak menyangka kamu terlebih awal meninggalkan diriku. Kepergianmu sungguh tidak aku duga. Kamu menanggung sakit yang tidak mungkin kamu jangka. Dari awal kamu di sahkan sakit, aku begitu kecewa menerima segala ketentuan ini. Sehinggalah kamu pergi. Saat itu, aku terasa hilang segalanya. Namun, untuk pengetahuanmu, aku ada teman yang sering menjadi pendorong untuk aku selalu tabah menghadapi kehilanganmu. Namun, di saat aku merinduimu tiada seorang pun yang dapat memahamiku. Aku ada kawan untuk berkongsi saat gembira, namun di saat aku merinduimu, aku sendiri menahan segala rasa. Hanya Allah yang bisa mendengar segala kerinduanku padamu. 

Kakakku,

Sesungguhnya aku merasa sebuah kehilangan. Segala seri hidup tiada. Setiap apa yang diraikan, pasti akan teringatkanmu. Segalanya hambar tanpamu. Kamu cuma bisa hadir di dalam mimpiku. Sebelum hari itu tiba, hadirlah walau sekali dalam mimpiku untuk aku melihat kau gembira dengan kejayaanku.


Sekian.

Daripada seorang adik yang merinduimu..


"Ya Allah, aku memohon pada-Mu, cucurilah rahmat ke atas rohnya, dan tempatkan lah dia dalam kalangan orang-orang yang beriman."

Wednesday, May 8, 2013

Syurga Ilmu..

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana Allah swt telah menanamkan sifat "dahaga ilmu" dalam diri saya. Saya begitu meminati buku-buku berbentuk motivasi, travelog, novel & majalah Islamik serta beberapa lagi genre lain. Walaupun saya tidak mampu untuk amalkan semua ilmu yang telah saya peroleh, namun bukan bermakna saya perlu berhenti membaca. Mungkin satu hari nanti siapa tahu yang ilmu-ilmu yang telah saya peroleh akan membantu diri saya untuk menghadapi masa hadapan yang mencabar.

Senarai buku yang masih ada dalam "wishlist" saya.

1. Diari Seorang Diplomat: Hikmah yang Tersirat karya Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd.
2. Risalah Hati Raja Sehari karya Fatimah Syarha.
3. Buat Bakal Isteriku karya Ibnu Rijal.

Semoga Allah murahkan rezeki saya untuk memiliki buku tersebut. Aamiin..=)

Friday, April 26, 2013

Sekuntum Mawar Mengharum..

Assalamualaikum wbt.

Entri ini saya dedikasikan kepada seorang wanita bergelar Mawar. Sesungguhnya saya tidak mengenalinya secara bertemu mata. Kali pertama saya hanya melihat wajahnya di sebuah majalah Q&A Edisi 16. Perkataan pertama yang terkeluar daripada mulut saya, ialah "cantiknya dia". Allah izinkan saya membaca ruangan Drama dan Iktibar iaitu merupakan ruangan dimana telah diceritakan perjalan hidup dia, suami dan anak-anak. Saya tertarik membaca kisahnya dan menanti sambungannya. Saya juga tertarik dengan namanya Mawar dan anaknya Embun dan Kekwa. Dan ianya sampai setakat itu sahaja.

Dan semalam, abah saya telah membeli Majalah Q&A, Edisi 17. Saya membelek halaman buku tersebut dan sekali lagi sampai di ruangan tersebut. Saya teringat ini lah sambungan kisah yang saya perlu baca. Saya membacanya dengan linangan air mata. Sungguh tragis bagi saya pengakhiran kisah tersebut. Sungguh sayu merasai kehilangan teman sejati kita iaitu seorang suami. Dan di akhir penulisan tersebut, kak Mawar mengatakan dia akhirnya berjaya menyempurnakan hasrat arwah suaminya untuk menjadi seorang penulis. Dia telah menerbitkan buku hasil kembara suaminya di Pakistan yang dulunya hanya ditulis di blog suaminya sahaja. Dan saat melihat buku tersebut, saya terus terkejut. 

Dahulu ketika saya berada di sebuah kedai buku, saya telah terambil buku tersebut. Entah mengapa ada satu tarikan untuk saya menyukai buku itu. Mungkin kerana minat saya yang suka kan buku berbentuk travelog. Namun, saya meletak kembali buku tersebut memandangkan saya dalam fasa berjimat cermat kerana dalam fasa menunggu kerja. Saya telah meninggalkan kedai tersebut dengan sebuah buku lain yang sudah lama tersenarai dalam wishlist saya dengan harapan satu hari nanti saya pasti membeli buku tersebut. 

Dan saat melihat kembali gambar buku yang ditunjukkan itu, hanya Allah yang tahu betapa terkilannya saya kerana tidak membeli buku tersebut. Saya terasa seperti mahu berlari-lari kedai buku itu untuk membelinya. Bagi mengubat kekecewaan, saya telah mencari maklumat buku tersebut dalam internet. Saya membaca review daripada pembaca di blog-blog yang pernah membaca buku tersebut. Melalui pembacaan itulah saya mengetahui kisah disebalik terhasilnya buku tersebut. Saya gembira kerana ada yang telah meletakkan link blog kak Mawar. Saya terus membukanya. Sungguh, walau hanya membaca beberapa entri, saya telah menangis tersedu-sedu. Saya dapat rasakan keperitannya kehilangan orang yang disayangi kerana saya pernah merasakan kehilangan. Namun, kehilangan kita berbeza. Saya hanya kehilangan seorang kakak yang menjaga saya dari kecil sehingga saya ke menara gading. Tetapi, kak Mawar kehilangan seorang yang berkongsi jiwa raga. Memang menyakitkan. 

Saya melapangkan masa untuk membaca keseluruhan entri blog dari awal permulaan sampai yang terbaru, namun masih ada yang tidak kehabisan atas tuntutan kerja yang saya perlu siapkan. Blog kak Mawar cukup rencah kehidupan. Adakala saya tersenyum membaca kisah yang telah ditulis, adakalanya saya menangis mengenangkan betapaa rindunya seorang isteri kepada arwah suaminya. Sayu hati dengan telatah Embun dan Kekwa yang kelihatan begitu tabah meneruskan hidup tanpa seorang ayah. Sehingga saat ini saya asyik terfikirkan kak Mawar dan setiap kali itu juga air mata menitis. 

Buat kak Mawar,
Saya harap akak tabah menjalani hidup ini tanpa seorang suami yang disayangi. In shaa Allah syurga menanti suami kak Mawar di sana. Allah ambil sedikit tetapi, Allah akan bagi banyak di alam sana. Akak seorang wanita yang sangat tabah. Walaupun akak mengatakan akak lemah menghadapi ujian ini, namun sebenarnya akak lah wanita tabah berbanding dengan yang lain kerana Allah menguji hamba-Nya mengikut kemampuan. Dan kemampuan akak cukup tinggi untuk menghadapi ujian tersebut.

Cukuplah blog ini berbicara untuk menggambarkan kisah mereka berdua. Kisah mereka sungguh meninggalkan kesan kepada saya.


Blog kak Mawar: Mawarnafastari
Blog arwah suami: Nafastari

Buku yang diterbitkan khas buat arwah suaminya. Namun, tidak sempat untuk disentuh oleh penulisnya sendiri. Semoga ianya menjadi saham akhirat buat arwah di alam sana.





1. Saat ini saya masih teringat kata-kata terakhir kak Mawar dalam perjalanan pulang ke destinasi yang telah menyaksikan dia kehilangan suaminya untuk selama-lamanya. "Siapa yang akan pergi dahulu, awak atau saya?" dan ketika menyiapkan anaknya selepas selesai mandi sebelum bertolak, anaknya telah menyebut perkataan "horse" dan telah menimbulkan perasaan pelik kerana tiada siapa yang pernah mengajar perkataan tersebut kepada anaknya. Dan malam itu juga, suaminya telah terlanggar seekor kuda. 

2. Saya dapat merasakan kak Mawar beruntung kerana arwah suaminya masih meninggalkan kenangan kepadanya iaitu sebuah blog yang dapat dibaca saat isterinya sangat merindukannya. Dan saya juga berharap bakal suami saya nanti meninggalkan tulisannya untuk tatapan saya andai dia pergi dahulu sebelum diri saya. Saya bertekad untuk tidak mensia-siakan blog saya dan segala penulisan saya ini akan menjadi pengubat rindu kepada orang yang saya sayang andainya ajal saya menjemput.

3. Kak Mawar merupakan blogger kedua berpangkat kakak yang telah membuatkan saya jatuh sayang. Sebelum ini KS telah menceriakan hidup saya dengan kisahnya. Sekarang saya ada kakak Mawar yang kisahnya mampu memberi inspirasi pada saya. Ajaibnya kasih sayang Allah, kedua-duanya saya tidak bertemu mata. Hanya melalui kisah mereka di blog. Namun, jauh di sudut hati, ada kasih dari saya buat mereka berdua. 

4. Sebenarnya Mawar, Kekwa, Embun hanya nama panggilan dalam blog. Masing-masing ada namanya tersendiri. Hehe.

5. Maaf kak Mawar andai ada tersalah fakta. =)

Monday, April 8, 2013

Saat Mapel Gugur..

Assalamualaikum wbt.

Saya sedang larut menatap sebuah novel. Sungguh ianya unik sekali. Saya sukakan semua tentangnya. Dari kulit, kertas, dan isinya. Entah kenapa, saya rasa ianya sungguh sederhana, kelihatan lama dan tenang. 

Gadis ini seorang guru. Si teruna seorang pengurus. Saling memendam sebuah perasaan suci. 5 tahun terbuku. Hanya pasrah pada Ilahi. Masing-masing saling berharap hanya dengan secebis memori. Si kumbang di sana dengan teman baiknya yang mencintainya. Dan si bunga ini redha jika takdirnya begitu. Si teruna kecewa dengan hanya membiarkan pandangan mata mentafsir segala apa yang dilihat mengenai si bunga dari jauh. Lelaki yang dilihat itu hanya berpangkat "pak cik" pada si bunga. Sangkaan yang tidak benar antara satu sama lain telah membawa hati mereka jauh. 

Kesimpulannya, hati mereka saling memerlukan. Tetapi malu untuk meluah. Dan saya meneliti satu persatu frasanya. Senyum kerana kisahnya dekat dengan jiwa saya. Ayat yang berkaitan "bunga kantan" boleh buat saya berkata, "Eh! ini bunga kesukaan saya." Saya teruja menanti kisah ini berakhir.

"Kalau takut dilambung ombak, sayulah mata memandang pulau"

Thursday, February 14, 2013

Sebuah Kelahiran..


Assalamualaikum w.b.t

Atas nama Al-Khaliq, terciptalah dia,
Atas nama Al-Raazzaq, tertulis takdir indah buatnya,
Atas nama Al-Mushawwir, sempurnalah jasadnya,
Atas nama Al-Muhyii, tertiup rohnya,
Atas nama Al-Kariim, dunia tempat untuknya.

Demi kasih ayah,
Seruan itu lantunan syahdu,
Demi kasih ibu,
Tersedia syurga buat dirimu.

Putera,
Dirimu satu amanah,
Lahirmu sebagai khalifah,
Hidup dan matimu untuk ibadah,
Sebarkanlah wangi-wangian indah,
Agar hidup tiada sia saat kembali pada-NYA.

Putera,
Ingat pesan ayah,
Patuh pesan ibu,
Kami lah dua pendidik,
Agar hidupmu jelas terdidik,
Dunia ini di tanganmu,
Akhirat sana tetaplah dalam pelukanmu,

Putera,
Hari ini harinya,
Kau membuat ibu gembira,
Nun jauh di sana,
Ayah pasti berbangga,
Dirimu harta berharga,
Buat bekalan kami di sana,

Duhai putera,
Sesungguhnya dirimu bukan hak milik,
Tapi amanah dari AL-KHALIQ,

(aisya, 140213)

Sunday, January 27, 2013

Seni Memahami..

Assalamualailum w.b.t


Seni itu halus.

Memahami itu kompleks.

Bila ianya bersatu, ia perlu ditelusuri dengan lebih jauh ke dalam.

Seni memahami itu sukar.

Namun, ia perlu, perlu, perlu.


* Cuba selagi terdaya.

Saturday, January 26, 2013

Elak-elak..

Assalamualaikum w.b.t

Entri ini bagi meraikan hati remaja yang bertanya.

"Bagaimana hendak mengelak daripada menemani orang yang hendak 'berdating'?"


Begini caranya :

1.  Katakan tidak.

Katakan sahaja kamu tidak berminat untuk mengikutnya. Cipta alasan mengatakan kamu ada kerja yang perlu diselesaikan, penat, tiada mood untuk pergi ke mana-mana dan alasan yang munasabah. Percayalah, jika kamu sering mencipta alasan setiap kali dia mengajakmu, berkemungkinan dia akan bosan dan tidak mengajakmu lagi. Memang kamu akan terasa serba salah kerana menipu, namun fikirkan kembali, tidakkah anda merasa tidak bersalah bersubahat dengan dirinya membuat perkara yang di larang Allah s.w.t?

2. Jaga akhlakmu.

Kita seringkali jatuh hati dengan akhlak seseorang. Jika kita berada dalam kalangan orang-orang yang berakhlak mulia dan memelihara diri, kita akan malu untuk melakukan sesuatu yang salah di hadapannya. Oleh itu, perbaikilah akhlak kita dahulu sehingga membuatkan teman-teman kita malu untuk membuat dan mengajak kita membuat perkara yang salah. Contohnya, jika kamu jenis yang suka menjaga pergaulan dengan mengehadkan batas-batas pergaulan dengan bukan mahram serta tidak terjebak dengan sebarang cinta picisan, in shaa Allah, rakan kamu segan untuk mengajak kamu menemaninya kerana hormatkan diri kamu.

3. Elakkan diri bertanya kisah cintanya.

Adat berkawan, apatah lagi kawan baik. Semua benda akan berkongsi. Namun, bab kisah percintaan atau apa sahaja berkaitan dia dan jejaka itu, elakkan daripada bertanya rakan anda terlalu kerap. Jika rakan bercerita tadahkan sahaja telinga anda namun, pandai-pandailah anda mengehadkannya dan mengubah topik. Lakukan dengan berhemah supaya tiada hati yang tersinggung. Jika rakan anda seorang yang prihatin, dia akan jarang bercerita dengan anda tentang kisahnya kerana dia menyedari bahawa anda tidak begitu berminat dengan kisahnya. Kalau tidak berminat untuk mendengar, sanggupkah lagi rakan anda mengajak anda keluar menemaninya?

4. Nyatakan prinsip.

Yang ini paling susah untuk dibuat. Saya pun susah bila dalam keadaan begini. Namun, kita harus cuba praktikkan sekali-sekala. Nyatakan terus prinsip kita padanya dengan pelbagai ayat contohnya: "Kalau awak nak ajak saya pergi mana2, in shaa Allah saya boleh teman, tapi satu sahaja yang saya tak akan pergi, teman awak keluar dating. Maaflah, saya tak suka". Beritahulah dengan nada bergurau atau apa cara sekalipun. Berhemah dalam berkata-kata. 



* Bercakap berdasarkan pengalaman. Biarpun kita tidak pernah sempurna, namun sampai bila kita tidak mempunyai kekuatan untuk berubah menjadi lebih baik. Tidak mampu untuk berubah sekaligus, namun cubalah untuk berubah satu persatu. 

* Tiada ilmu yang tinggi untuk bercakap soal agama. Namun, kadangkala logik akal dan pengalaman boleh dijadikan iktibar yang berguna. 

* Mohon maaf andai entri ini ada mengguris hati sesiapa. Maaf juga jika ada kekurangan. =)

Tuesday, January 15, 2013

Confirm @ Not now..

Assalamualaikum w.b.t

Jarang sekali saya menggunakan tajuk dalam english version. Tetapi memandangkan aplikasinya begitu, saya malas untuk  menukarnya. Hehe. Jom terjah!

Kawan di alam maya.


Hati berbelah bagi jika adanya friends request di facebook. Bukan apa, saya mempunyai satu perangai iaitu kurang gemar menerima friends request ini. Bukan bermakna saya anti-sosial, namun saya lebih selesa untuk bersederhana dalam pengumpulan rakan-rakan di alam maya. Mungkin kerana saya ini jenis seorang yang tidak berapa suka untuk menonjol dan lebih suka untuk tidak dikenali. Namun, saya masih ada beberapa orang rakan yang hanya dikenali di facebook tanpa pernah bertemu di alam maya. Namun, jumlahnya sedikit kerana saya terlebih dahulu menapis permintaan ini. Hanya orang-orang tertentu sahaja yang bernasib baik diterima friends request itu dengan izin Allah. Mungkin Allah ada sesuatu yang hendak saya peroleh daripada mereka. Mudah-mudahan.

Antara ciri-ciri rakan yang ada dalam friends list saya ialah:

1. Rakan-rakan sepengajian dari sekolah rendah sehingga tamat pengajian di salah sebuah institut. 
2. Keluarga. (Termasuk keluarga rakan-rakan rapat saya)
3. Rakan-rakan kepada keluarga. (Individu yang saya baik dengannya)
4. Individu-individu yang bermanfaat ( contohnya pakar motivasi, blogger, ustaz-ustazah, photographer, videographer)
5. Bisnes online (kemudahan membeli produk yang diminati)
6. Individu-individu yang terpilih. =)

Antara yang saya akan tolak untuk memasuki friends list ialah:

1. Individu yang tidak dikenali. (tiada mutual friends, dan tanda-tanda pengenalan diri yang lain)
2. Individu yang sedikit mutual friends ( berkawan atas kawan dan saya tidak pernah mengenalinya)
3. Individu yang mencurigakan (mungkin ingin mengenali saya kerana kepentingan dirinya)
4. Lelaki (Ditapis dan diselidiki dengan teliti)
5. Menggunakan profile picture yang tidak memungkinkan saya mengenalinya walaupun hakikatnya saya mengenalinya.

Dengan rendah diri, saya memohon maaf andai ada yang mengatakan saya sombong kerana tidak menerima friends request walaupun sudah berbulan-bulan lamanya. Saya bukan tidak suka pada anda tapi inilah diri saya. Usah lah mengenali diri saya yang tiada apa-apa yang boleh dimanfaatkan. Saya hanya manusia biasa. Saya lebih selesa begini buat masa ini dengan mengambil sifat berhati-hati. Mohon maaf jika ada yang terasa. =)